Tapak kubur Islam baharu di Hulu Semenyih mampu tampung keperluan 28 tahun

Tapak kubur Islam baharu di Hulu Semenyih mampu tampung keperluan 28 tahun

Dr Zaliha Mustafa berkata, tanah kubur di Kuala Lumpur hanya berbaki kapasiti lima hingga tujuh tahun.

Perihal tanah perkuburan di Hulu Semenyih antara isu yang dibincang dalam pertemuan Dr Zaliha Mustafa dengan Amirudin Shari bersama delegasinya di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, hari ini. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor, mampu menampung keperluan jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, penggunaan tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah mencapai kadar lebih 70% setakat ini.

“(Tanah perkuburan di Kuala Lumpur) berbaki kapasiti hanya mencukupi untuk tempoh lima hingga tujuh tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Zaliha berkata, perihal tanah perkuburan di Hulu Semenyih itu antara isu yang dibincang dalam pertemuan beliau dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bersama delegasinya di Menara Seri Wilayah.

Pada Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur akan dikebumikan di kawasan tanah perkuburan baharu yang diwartakan kerajaan di Semenyih.

Mohd Na’im berkata, tapak baharu dengan keluasan hampir 90 hektar itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memandangkan tanah kubur di ibu kota dijangka bertahan hingga enam tahun sebelum semua lot penuh.

Sementara itu, Zaliha turut membangkitkan isu pemuktamadan persempadanan antara Kuala Lumpur dan Selangor serta Putrajaya dan Selangor pada pertemuan tersebut bagi memastikan penguatkuasaan sempadan lebih bersepadu dapat dijalankan.

Ia juga bertujuan memaksimumkan guna tanah bagi pembangunan terancang, memperkemas kutipan hasil tanah dan mengelak isu pencerobohan serta pertindihan kawasan.

“Pertemuan ini penting untuk memastikan pembangunan tersebut dilaksanakan secara inklusif dan memanfaatkan kedua-dua pihak secara menang-menang, baik Wilayah Persekutuan mahupun Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.