
Mengimbau kerjaya politiknya dalam PKR, Nik Nazmi berkata, walaupun kecewa kerana tidak menang mana-mana jawatan, beliau tidak ‘menyimpan dendam mahupun berasa marah’
“Ini bukanlah noktah pada perjuangan, tetapi satu liku dalam perjalanan yang masih panjang. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Pada hujung minggu lalu, menteri sumber asli dan kelestarian alam itu cuba mempertahankan jawatan naib presiden PKR disandangnya dalam saingan 11 penjuru.
Beliau satu-satunya penyandang yang gagal mengekalkan jawatan itu, sementara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dipilih semula sebagai naib presiden.
Nik Nazmi, yang mengaku menghabiskan lebih separuh usianya bersama PKR, berkata beliau bertuah kerana diberi penghormatan untuk berkhidmat pada usia yang muda.
“Saya sentiasa percaya bahawa Malaysia hanya akan mencapai potensinya melalui politik progresif,” katanya.
“Menjadikannya kenyataan adalah bentuk politik baharu untuk generasi kami, bukan fikrah berasaskan kaum atau agama yang sempit.”
Nik Nazmi mengimbau pelbagai detik penting ketika bersama PKR, termasuk membantu parti pada usia 19 tahun dan melepaskan kerjaya korporatnya untuk berkhidmat sepenuh masa buat presiden parti, Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengenang saat beliau mengejutkan mereka yang meraguinya dengan menjadi calon termuda pada PRU 2008 dan menewaskan calon Barisan Nasional dengan majoriti 2,863 undi dalam pertembungan satu lawan satu bagi kerusi DUN Seri Setia.
Pada 2018, beliau menang di kerusi Parlimen Setiawangsa, yang dianggap sebagai kubu kuat BN.
“Kami berkempen dengan mesej bahawa jika kita menang Setiawangsa, kita akan menang Putrajaya,” katanya.