Penyokong kuat Rafizi tak akan keluar PKR, kata naib presiden

Penyokong kuat Rafizi tak akan keluar PKR, kata naib presiden

Aminuddin Harun yakin situasi dalam parti akan kembali pulih.

kongres pkr
Aminuddin Harun berkata beliau yakin penyokong Rafizi Ramli akan mengambil masa untuk bertenang dan memberikan sokongan semula kepada parti.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Aminuddin Harun percaya penyokong kuat Rafizi Ramli tidak akan keluar parti selepas Ahli Parlimen Pandan itu kalah pemilihan jawatan timbalan presiden, Jumaat lalu.

Menteri besar Negeri Sembilan yang mengakui beliau sebahagian daripada ‘orang kuat’ menteri ekonomi itu percaya kekecewaan dilalui tidak akan berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan parti.

Beliau yakin situasi dalam PKR akan kembali pulih selepas ini.

“Mereka tidak akan keluar parti, tetapi melihat strategi yang boleh dimainkan di peringkat ranting dan cabang sebagai langkah ke hadapan.

Aminuddin Harun.

“Saya sebahagian daripada ‘orang kuat’ Rafizi dan saya yakin mereka akan mengambil masa sedikit untuk tenang dan memberikan sokongan semula kepada Keadilan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kejohanan takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2025, malam tadi.

Pada pemilihan dalam Kongres Nasional PKR di Johor Bahru, Rafizi kalah kepada Nurul Izzah Anwar untuk merebut jawatan nombor dua parti.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memperoleh 9,803 undi manakala Rafizi meraih 3,866 undi.

Amiruddin pula berjaya mempertahankan jawatan naib presiden daripada 12 calon yang bertanding.

Sementara itu, Amiruddin berkata PKR tidak boleh mengambil mudah pandangan dilontarkan rakyat sebaliknya perlu merangka strategi dan memberikan penerangan dengan baik.

“Walaupun pemilihan parti sudah berakhir, melihat di pelbagai media sosial, pelbagai perkara masih diperdebatkan.

“Saya lihat pimpinan PKR perlu rangka strategi dan memberi penerangan yang baik. Kita tidak boleh ambil mudah komen daripada rakyat.

“Kita perlu perbaiki apa jua pandangan dan bekerja lebih kuat daripada apa yang ada sekarang dalam menuju pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.