Peluang PKR tawan Kelantan tipis, kata penganalisis

Peluang PKR tawan Kelantan tipis, kata penganalisis

Awang Azman Awang Pawi berkata pengaruh PAS sudah mengakar dalam masyarakat setempat selepas mentadbir selama 35 tahun.

Penganalisis berkata PKR hanya ada peluang menawan Kelantan jika berlaku perpecahan besar dalam PAS, pada masa sama parti itu bina naratif dengan nilai Islam dan budaya tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat PKR mempunyai peluang tipis untuk menawan Kelantan mengambil kira pengaruh PAS yang mentadbir negeri itu selama 35 tahun sehingga menjadi simbol dan budaya yang mengakar dalam masyarakat setempat.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, peluang mungkin muncul jika berlaku perpecahan besar dalam PAS, pada masa sama PKR berjaya membina naratif lebih inklusif yang tidak terasing daripada nilai Islam dan budaya tempatan.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Katanya, cita-cita PKR untuk menawan Kelantan juga memerlukan kerja keras dan pelaburan politik yang konsisten.

“Kelantan bukan sekadar kubu kuat PAS, tetapi simbol ideologi dan jati diri parti itu sejak era (bekas menteri besar) Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga kepimpinan kini.

“Pengaruh PAS bukan sahaja terletak pada aspek politik, tetapi juga budaya, pendidikan Islam dan jaringan sosial yang mengakar dalam masyarakat setempat,” katanya kepada FMT.

Semalam, bekas presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail dilapor berkata parti itu mempunyai potensi menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam parti tersebut.

Beliau yang juga pengerusi majlis penasihat PKR berkata, kerjasama erat dalam parti turut menjadi faktor utama yang menarik lebih ramai orang untuk menyertai perjuangan PKR.

Menyifatkan pandangan Wan Azizah sebagai terlalu optimistik, Awang Azman berkata pengundi Kelantan lebih berpihak kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membina naratif Islamik menyentuh sentimen akar umbi serta mempersembahkan imej ‘politik bersih’.

Katanya, jentera PAS jauh lebih tersusun dan ‘berakar’ dari masjid, surau, pondok, sekolah agama rakyat, dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam tempatan berbanding PKR yang jenteranya lebih kukuh di kawasan bandar dan separa bandar.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Turut senada, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara yang berkata, amat sukar PKR selaku parti ‘berbilang kaum’ meraih sokongan pengundi Kelantan yang komposisinya didominasi Melayu Islam.

“Mustahil bagi PKR atau Pakatan Harapan melawan kemampanan negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah) jika bersendirian.

“Tapi kalau betul cara kerjasama dijalin PH dengan Umno ada kemungkinan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.