Malaysia, GCC meterai MoU bincang FTA

Malaysia, GCC meterai MoU bincang FTA

Ini kali pertama negara mengadakan rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan negara Teluk sebagai blok.

Mesyuarat Menteri-menteri Majlis Kerjasama Teluk (GCC) diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Ahad. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menandatangani memorandum persefahaman memulakan rundingan rasmi bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata ia kali pertama Malaysia berurusan dengan GCC sebagai blok tunggal ekonomi.

“Kita melihat ia sebagai perkembangan positif. Sebelum ini, kita menandatangani dan memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif dengan UAE. Kali ini, kita melibatkan semua enam negara dalam GCC.

“Insya-Allah, FTA ini akan membantu syarikat kita mendapat akses lebih baik dalam pasaran GCC,” katanya kepada pemberita di sela-sela Persidangan Kemuncak Asean ke-46.

Tengku Zafrul berkata, rundingan berkenaan meliputi beberapa sektor utama, termasuk elektrik dan elektronik, semikonduktor, produk halal, minyak sawit, dan bahan kimia.

Katanya, prospek dijangka memberangsangkan, mengambil kira perdagangan dua hala Malaysia dan GCC kini bernilai USD22 bilion (RM103.4 bilion).

GCC terdiri Arab Saudi, UAE, Qatar, Kuwait, Bahrain, dan Oman – blok terkenal dengan simpanan besar tenaga, kuasa pelaburan kukuh, dan minat semakin meningkat terhadap kerjasama teknologi termaju.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, kedua-dua pihak menyasar memuktamadkan FTA dalam tempoh setahun, mendorong Malaysia memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif dengan UAE hanya dalam tempoh 10 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.