
Penasihat kepada menteri luar Thailand, Dusit Manapan, berkata walaupun tumpuan antarabangsa kini banyak diberikan kepada sindiket penipuan dalam talian, ketidaktentuan politik di Myanmar turut membawa ancaman kepada peningkatan jenayah lain seperti penyeludupan dadah dan senjata.
Beliau berkata aktiviti jenayah di sepanjang sempadan Myanmar berpunca daripada kelemahan kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang dan ketenteraman di kawasan berkenaan.
“Kami cuba menghentikan aktiviti jenayah ini dengan tidak membekalkan beberapa sumber seperti elektrik, bahan api dan internet,” kata Dusit kepada FMT di luar sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat berkaitan di sini.
“Tetapi langkah keras kami hanya berjaya sebahagiannya. Akhirnya, mereka boleh mencari sumber lain bagi menggantikan apa yang hilang.”
Menurut Dusit, pemantauan melalui udara menggunakan dron juga terhalang disebabkan penggunaan teknologi balas yang canggih.
“Apabila kita putuskan elektrik dan internet, mereka beralih kepada Starlink dan panel solar,” katanya.
Krisis politik di Myanmar bermula dengan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pilihan rakyat, sekali gus mencetuskan gerakan penentangan bersenjata yang meluas.
Dengan konflik yang semakin berlarutan, banyak kawasan terutamanya di sempadan kini menjadi zon tanpa undang-undang yang dieksploitasi untuk menjalankan pusat penipuan, laluan dadah dan rangkaian penyeludupan senjata dengan sedikit campur tangan.
Dusit berkata menangani punca pusat penipuan itu penting kerana ia menjana pendapatan besar untuk kumpulan jenayah terancang.
“Jika tidak, kita akan terus berdepan dengan masalah ini. Selepas penipuan dalam talian, anda berdepan dengan penyeludupan dadah. Anda berdepan perdagangan senjata,” katanya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rantau Asia Timur dan Asia Tenggara telah mengalami kerugian sehingga USD37 bilion akibat penipuan siber, menggambarkan skala sebenar kegiatan ini.
Myanmar kini menjadi hab utama bukan sahaja bagi penipuan dalam talian, tetapi juga sebagai pengeluar candu terbesar dunia, mengatasi Afghanistan.
“Terdapat banyak kumpulan etnik bersenjata terlibat. Ini adalah perniagaan yang sangat menguntungkan bagi kumpulan itu, dan mereka ada duit untuk beli senjata.
“Mereka perlu jana pendapatan agar mempunyai sumber untuk terus melawan kerajaan,” kata Dusit.
Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung hari ini dijangka turut membincangkan isu jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian di peringkat tertinggi.
Malaysia selaku pengerusi Asean, menggesa pemerkasaan mekanisme penyelarasan undang-undang dan perkongsian maklumat antara negara anggota dipertingkatkan bagi membanteras ancaman rentas sempadan yang semakin membesar, menurut kenyataan Menteri Luar Mohamad Hasan dalam Mesyuarat Majlis Politik-Keselamatan Asean ke-29.