Asean perbaharu deklarasi bersama, pacu hala tuju 20 tahun mendatang

Asean perbaharu deklarasi bersama, pacu hala tuju 20 tahun mendatang

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sifatkan ‘Asean 2045: Masa Depan Bersama’ berpaksikan realisme, digerakkan oleh keazaman.

Asean declaration
Deklarasi KL mengenai Visi Komuniti Asean 2045 ditandatangani oleh pemimpin blok serantau itu pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 hari ini.
KUALA LUMPUR:
Para pemimpin Asia Tenggara hari ini menerima Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Visi Komuniti Asean 2045, suatu pelan hala tuju yang menggariskan wawasan bagi tempoh dua dekad akan datang untuk integrasi rantau ini dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat dan ketegangan geopolitik yang kian memuncak.

Deklarasi bertemakan ‘Asean 2045: Masa Depan Bersama’ itu ditandatangani semasa Sidang Kemuncak Asean ke-46 hari ini sebelum diserahkan kepada Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Asean berkata, tatanan antarabangsa hari ini semakin tidak menentu, dengan ketegangan geopolitik, fragmentasi ekonomi, serta gangguan iklim dan teknologi yang menguji ikatan antara negara.

“Namun, teknologi-teknologi ini turut membawa risiko. Jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh memburukkan lagi jurang ketidaksamaan, menjejaskan sumber pendapatan, dan mengatasi peraturan sedia ada.

“Kita bukan sahaja mesti menerima inovasi, malah kita juga perlu belajar mentadbirnya secara berhemah, bersama-sama,” katanya.

Menyifatkan wawasan baharu itu sebagai ‘suatu rangka tindakan bersama’, Anwar berkata, ia ‘berpaksikan realisme, digerakkan oleh keazaman, dan dijayakan berlandaskan kepercayaan’.

“Dan sambil kita membuka lembaran baharu ini, kita membaharui janji kita – kepada rakyat kita, kepada rantau kita, dan kepada generasi akan datang,” katanya.

“Marilah kita bergerak ke hadapan dengan kejelasan wawasan, keteguhan tujuan, dan kesatuan tekad untuk membina Asean yang ingin kita wariskan kepada generasi akan datang.”

Deklarasi Kuala Lumpur yang asal, ditandatangani pada 2015 ketika Malaysia mempengerusikan Asean sebelum ini, menjadi landasan kepada Visi Komuniti Asean 2025.

Deklarasi tersebut berfungsi sebagai dokumen dasar utama yang menjadi panduan kerjasama merentasi tiga tonggak utama blok itu, iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosiobudaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.