
Beliau berkata, ia susulan Mesyuarat Menteri Luar Asean di Langkawi awal tahun ini.
“Saya telah menulis kepada Presiden Donald Trump untuk mendapatkan pemahaman dan sokongan beliau dalam menganjurkan mesyuarat AS-Asean, yang mencerminkan komitmen serius kami terhadap prinsip pemusatan.
“Bukan hanya aspirasi kami disuarakan tetapi tanggungjawab kami. Ia berpaksikan pada keyakinan bahawa masa depan Asean mesti dibina di atas tonggak berkembar iaitu pertumbuhan yang saksama, mampan dan daya tahan yang berkekalan,” katanya ketika ucapan perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-46, hari ini.
Sebelum ini dilaporkan Menteri Luar Mohamad Hasan dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio bertemu pada 5 April untuk menetapkan tarikh Sidang Kemuncak Khas Asean-AS.
Bagaimanapun, pada 3 April Trump mengumumkan satu siri tarif baharu yang secara langsung meningkatkan duti import ke atas import Asia Tenggara, menyebabkan Kemboja, Laos dan Vietnam paling teruk terjejas. Malaysia dikenakan tarif 24% manakala Singapura menerima tarif terendah iaitu 10%.
Menteri-menteri ekonomi Asean berkata, blok 10 anggota itu tidak akan mengenakan sebarang tindakan balas kerana kumpulan terbabit mahu terlibat dalam dialog ‘terus terang dan membina’ dengan AS untuk menangani kebimbangan berkaitan perdagangan.
Walaupun negara anggota mengadakan perbincangan dua hala dengan AS, Anwar berkata terdapat perjanjian tersirat sebulat suara dalam kalangan pemimpin Asean untuk mengekalkan konsensus serantau.
“Apabila kami menghadapi isu tarif, kami bersetuju untuk meneruskan mesyuarat dua hala sambil mengekalkan konsensus Asean,” katanya.
Anwar juga menyatakan perkembangan menggalakkan dalam krisis Myanmar melalui penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi mengenai Myanmar, sebuah pasukan tidak rasmi tokoh serantau yang diketuai bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra.
Kumpulan itu memanfaatkan hubungan peribadi dan fleksibiliti diplomatik bagi memudahkan dialog dengan junta tentera Myanmar dan pihak lain, untuk memajukan usaha damai seperti Konsensus Lima Perkara Asean.
“Libat urus secara senyap itu penting. Langkahnya mungkin kecil dan jambatan itu mungkin rapuh, tetapi seperti yang mereka katakan, dalam soal keamanan, jambatan yang rapuh pun lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” kata Anwar.
Malaysia mempengerusikan Asean tahun ini, ketika blok serantau itu meraikan sedekad sejak penubuhan Komuniti Asean.
Pemimpin dijangka menerima pakai wawasan 20 tahun baharu petang ini untuk membimbing hala tuju masa depan blok itu.