Angkara pelaburan tak wujud, wanita rugi hampir RM700,000

Angkara pelaburan tak wujud, wanita rugi hampir RM700,000

Mangsa seorang pengurus ejen insurans pada mulanya diminta memuat naik satu aplikasi dan mendaftar dengan membuat pelaburan pertama RM5,000.

scam
Mangsa membuat laporan polis di IPD Bentong semalam selepas mengesyaki ditipu, kata Timbalan Ketua Polis Pahang Azry Akmar Ayob.
KUANTAN:
Seorang pengurus ejen insurans kerugian RM695,000 akibat terpedaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di laman Facebook, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata mangsa wanita berusia 60 tahun itu pada mulanya telah diminta memuat naik satu aplikasi dan mendaftar menggunakan maklumat peribadi sebelum membuat pelaburan pertama RM5,000.

“Mangsa seterusnya menerima keuntungan awal RM900 dan mula menambah pelaburan dengan melakukan 22 transaksi berjumlah RM695,000 ke pelbagai akaun bank menggunakan wang simpanan peribadi dan pinjaman daripada rakan.

“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba mengeluarkan semua modal dan keuntungan pada Jumaat lepas dia tidak dapat berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata mangsa merasa curiga dan mengesyaki dirinya ditipu telah membuat laporan di IPD Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.