3 beranak maut motosikal dirempuh kereta

3 beranak maut motosikal dirempuh kereta

Polis berkata Perodua Ativa dipandu seorang wanita dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung motosikal dinaiki tiga beranak itu.

Ketua Polis Kuala Langat Mohd Akmalrizal Radzi berkata suami isteri berusia 20-an bersama bayi perempuan mereka berusia setahun parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri bersama anak perempuan berusia setahun maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta di KM53 Jalan Klang-Banting-Port Dickson Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi, berkata dalam nahas kira-kira 1 tengah hari itu, Perodua Ativa dipandu seorang wanita tempatan dalam lingkungan 30-an dari arah Sepang menghala Banting dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, kereta itu kemudian bertembung motosikal Yamaha 135LC dinaiki tiga beranak itu dari arah Banting ke Sepang.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan tiga mangsa tercampak ke atas jalan.

“Penunggang dan pembonceng berusia 20-an adalah pasangan suami isteri serta anak mereka berusia setahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Banting,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata semua mayat dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat S Taneshwaran di talian 012-6708561 atau IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.