Wartawan veteran Fauziah Rauf meninggal dunia

Wartawan veteran Fauziah Rauf meninggal dunia

Fauziah, 81, meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.

Fauziah Rauf meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira 1 pagi tadi. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Wartawan veteran yang juga antara pengarang wanita terawal, Fauziah Rauf, 81, meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira 1 pagi tadi.

Anak bongsu Allahyarham, Firhat Yasir Omar Sudi, ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Selayang berkata ibunya meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.

Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Selayang Baru untuk dimandi dan dikafankan serta solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru selepas solat zuhur.

Fauziah yang juga pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) merupakan penerima Tabung Kasih@Hawana pada 2023.

Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan Finas pada 2017.

Selain berpengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Allahyarham turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar 80-an.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.