
Naib Presiden Masiung Banah berkata baki 21 kerusi pula akan diserahkan kepada rakan parti nasional yang setuju bekerjasama dengan GRS.
Menurut Adun Kuamut itu, gesaan berkenaan berdasarkan sentimen serta sokongan padu rakyat Sabah yang didakwanya cenderung memilih parti tempatan.
Namun beliau berkata jumlah agihan kerusi terbabit bergantung kepada persetujuan Pengerusi GRS Hajiji Noor.
“Jika cadangan ini dipersetujui pengerusi GRS, saya menjangkakan kita bakal bertanding 52 kerusi dalam PRN nanti.
“Selebihnya 21 kerusi bakal diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalinkan kerjasama dengan GRS,” katanya menurut Daily Express.
Pada 12 Mei lalu, Hajiji berkata keputusan berhubung kerjasama PRN akan dirujuk kepada Majlis Tertinggi GRS.
Pendiriannya itu menyusul kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mencadangkan kerjasama PRN Sabah turut melibatkan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Sebelum itu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN manakala Hajiji dalam kenyataan susulan tidak menolak kemungkinan GRS bertanding solo.
Mengulas lanjut, Masiung berkata GRS berhati-hati apabila menjalinkan hubungan kerjasama bersama parti lain ekoran peristiwa cuba menjatuhkan kerajaan negeri menerusi Langkah Kinabalu pada Januari 2023.
“Hubungan kerjasama politik dan pentadbiran kerajaan antara GRS dan PH pada ketika ini cukup baik dan boleh dikekalkan,” katanya.