Penganalisis beri amaran kemenangan Nurul Izzah mungkin cetus naratif dinasti keluarga

Penganalisis beri amaran kemenangan Nurul Izzah mungkin cetus naratif dinasti keluarga

Awang Azman Pawi berkata jika tidak ditangani dengan baik, PKR berisiko hilang sokongan reformis tegar dan belia tolak politik dinasti.

NURUL IZZAH ANWAR - KONGRES PKR - PERSADA JOHOR
Nurul Izzah Anwar menang bergaya menewaskan penyandang Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat naratif menyelubungi kemenangan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden PKR perlu ditangani bagi menepis dakwaan penguasaan keluarganya ke atas parti itu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, jika kem Nurul Izzah gagal menangani dan menerangkan keadaan dengan betul, beliau berisiko kehilangan penyokong muda dan ideologi tegar PKR.

“Jika tidak ditangani secara inklusif, kemenangan ini boleh menyebabkan perpecahan dalaman atau rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin lain, termasuk penyokong Rafizi Ramli dan melemahkan parti dari dalam,” katanya kepada FMT.

Nurul Izzah menang besar dalam pertembungan satu lawan satu dengan penyandang Rafizi untuk jawatan timbalan presiden PKR Jumaat lalu.

Menurut Jawatankuasa Pemilihan Pusat, beliau memperoleh 9,803 undi atau 71.7%, manakala Rafizi mendapat 3,866 undi.

Awang Azman berkata, kemenangan Nurul Izzah bukan kemenangan peribadi, tetapi mencerminkan trend dalam PKR yang cuba mengimbangi idealisme dan pragmatisme kuasa.

“Bagi PKR, ini peluang untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan tidak semestinya sama dengan nepotisme, sebaliknya ia boleh mewakili gabungan tradisi dan kemodenan, serta satu bentuk perpaduan strategik.

“Tetapi, ini perlu ditangani dengan bijak dan inklusif menjelang PRU akan datang.”

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Rafizi perlu mengelak melakukan sebarang tindakan mengganggu ketika ini kerana beliau memainkan peranan penting dalam memastikan kerajaan terus bersatu.

“Saya harap Rafizi tidak akan meninggalkan PKR, tidak akan merajuk dan memilih kekal dalam Jemaah Menteri. Saya harap mereka dapat menerimanya kerana untuk jangka panjang, Rafizi dan Nurul Izzah adalah pasukan baik serta akan jadi kekuatan PKR.”

Ibrahim Suffian dari Merdeka Center senada gabungan Rafizi-Nurul Izzah akan mempersiapkan PKR dengan baik untuk menghadapi PRU16.

Menurutnya, jumlah undi diperoleh Rafizi menunjukkan beliau mendapat sokongan besar akar umbi dan ini bukan penamat buat menteri ekonomi itu.

Bagi Nurul Izzah, beliau berkata, kemenangannya mengenai kesinambungan visi Anwar untuk parti dan kerajaan diterajuinya ketika ini.

“Ia juga bermakna beliau akan mempunyai peranan penting dalam mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU dan menebus kekurangan sebelum ini.

“Sementara Anwar mengetuai kerajaan, beliau akan mengukuhkan parti melalui penyelarasan jelas dengannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.