Penduduk bimbang gajah ‘jenguk rumah tiap bulan’

Penduduk bimbang gajah ‘jenguk rumah tiap bulan’

Penduduk di Jeli berkata kehadiran kumpulan haiwan liar itu bukan saja menyebabkan rumah malah kedai makan diusahakan juga rosak.

Penduduk Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan berkata kehadiran gajah kini semakin kerap berbanding 10 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penduduk Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan, hidup dalam ketakutan susulan ancaman gajah semakin menjadi-jadi ketika ini.

Sidik Shaari, 48, berkata kehadiran kumpulan haiwan liar itu bukan saja menyebabkan rumah malah kedai makan diusahakannya juga rosak.

“Sepuluh tahun lalu, saya perlu ke zoo untuk melihat gajah, kini situasi berbeza apabila gajah yang datang ke rumah hampir setiap bulan.

“Sebulan sekali atau dua bulan sekali mesti gajah akan datang di kawasan kedai saya. Bukan seekor tetapi sehingga 10 ekor,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, ada ketika gajah itu tidak mengganas namun bertindak liar terutama ketika ia lapar sehingga habis barang di dapur diambil termasuk serbuk kopi dan sos cili.

“Malah tingkap dan pintu rumah saya sehingga kini tidak dibaik pulih akibat dipecahkan sekumpulan gajah,” katanya yang menjadi mangsa ancaman haiwan itu sejak sedekad lalu.

Sidik berkata, jika dulu gajah akan keluar pada awal pagi, namun kini haiwan itu juga muncul pada sebelah petang.

“Setiap kali (gajah) keluar, saya akan menghubungi Perhilitan untuk bantuan kerana takut memandangkan yang datang sekumpulan bukannya seekor.

“Kehadiran gajah kini semakin kerap berbanding 10 tahun lalu. Walaupun sentiasa dalam ketakutan, rumah ini sahaja yang saya ada untuk berteduh dan tidak mampu mencari kediaman lain.

“Saya turut berharap kerajaan atau Perhilitan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ancaman hidupan liar ini,” katanya.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lima negeri berdepan masalah gangguan gajah serta harimau dipercayai berpunca kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar.

Negeri terbabit adalah Kelantan, Perak, Pahang, Terengganu dan Johor dengan keadaan semakin membimbangkan serta membabitkan nilai kerugian dialami penduduk mencecah puluhan juta.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin, dilaporkan berkata jika keadaan itu tidak ditangani segera, konflik yang berlaku akan berterusan dan tidak mustahil gajah serta harimau akan memasuki kawasan bandar, bukan lagi kampung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.