
Mereka memberi amaran kegagalan berbuat demikian akan mengukuhkan persepsi kerajaan tidak mempunyai kemahuan politik melaksanakan reformasi dijanjikan.

Peguam Salim Bashir berkata pentadbiran diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti ‘menunaikan janji’ selepas kajian kebolehlaksanaan menyeluruh telah dijalankan, baik di dalam mahupun luar negara, oleh pasukan petugas kerajaan sepanjang dua tahun lalu.
Menurutnya, orang ramai menjangkakan kerajaan mempercepatkan proses itu.
“Perbincangan dan kajian sudah mencukupi. Pemisahan ini mesti dilakukan segera untuk mengukuhkan keyakinan rakyat,” kata Salim, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, minggu lalu yag kerajaan masih dalam proses mengkaji perkara itu.
Azalina berharap keputusan dapat dicapai sebelum pilihan raya umum yang akan datang.
Pada Disember lalu, Anwar memberitahu media bahawa draf kertas Kabinet mengenai perkara ini dijangka siap menjelang pertengahan tahun ini.
Mengakui kerumitan isu itu, Anwar berkata kertas terbabit mungkin mengambil masa untuk disiapkan kerana membabitkan pelbagai pindaan undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya pada 2018, telah berjanji untuk melaksanakan perubahan ini dan mengulanginya pada kempen PRU15, empat tahun kemudian.
Barisan Nasional (BN) turut menyatakan dalam manifesto 2022 bahawa perubahan ini perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan dan mengurangkan kuasa berlebihan yang diberikan kepada peguam negara.
PH dan BN kini komponen utama dalam kerajaan perpaduan.
Setelah dipisahkan, semua kuasa pendakwaan akan diserahkan kepada pendakwa raya manakala peguam negara akan berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan.

Peguam Haniff Khatri Abdulla pula mempersoalkan Azalina di atas kelewatan itu.
“Kita tidak akan ke mana-mana jika kerajaan tidak menunjukkan kemahuan politik untuk menyelesaikannya.”
Haniff mencadangkan agar satu jawatankuasa diraja di bawah naungan Majlis Raja-Raja ditubuhkan untuk mengkaji pemisahan peranan terbabit.
Peguam Rafique Rashid Ali pula berkata ada ketikanya peguam negara tidak berada dalam kedudukan terbaik untuk menangani kes jenayah secara langsung.
“Beliau mungkin berada dalam kedudukan konflik kepentingan dari semasa ke semasa, apabila kepentingan kerajaan tidak selari sepenuhnya dengan kepentingan awam,” katanya.

Rafique berkata pengalaman telah menunjukkan bahawa situasi seperti ini cenderung berlaku apabila ahli politik didakwa atas kesalahan jenayah.
Katanya, sejak 2018, terdapat kes di mana pendakwaan terhadap ahli politik sehaluan dengan kerajaan ditarik balik ketika perbicaraan masih berlangsung.
Dalam beberapa kes lain, rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan telah digugurkan atas alasan lemah seperti petisyen rayuan dikemukakan di luar tempoh, tambahnya.
“Kebanyakan tuduhan rasuah ini melibatkan jumlah berjuta-juta ringgit, dan persepsinya ialah seorang peguam negara yang akur telah dilantik untuk melaksanakan agenda pihak berkuasa,” kata Rafique.
Beliau menambah masa dan sumber kehakiman serta pendakwaan telah disia-siakan dalam proses berkenaan.