
“Sejak pembentukan Malaysia pada 1963, kerajaan Sabah hampir sentiasa sehaluan dengan kerajaan pusat – sama ada melalui gabungan nasional seperti Perikatan dan Barisan Nasional (BN), atau melalui kerjasama politik secara langsung.
“Usno (yang menerajui Sabah dari 1963 hingga 1975) dan Berjaya (1976 hingga 1985) ialah parti tempatan, tetapi merupakan sebahagian daripada Perikatan dan kemudian BN,” katanya dalam catatan Facebook.
Menurutnya, apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) menewaskan Berjaya pada PRN 1985, ia turut menyertai BN untuk memastikan kerjasama persekutuan dan negeri diteruskan demi kebaikan rakyat.
“Pada 1990, PBS keluar daripada BN dan bersama Gagasan Rakyat,” katanya merujuk gabungan pembangkang persekutuan diterajui Semangat 46 bawah Tengku Razaleigh Hamzah.
“Ini menandakan tempoh yang jarang berlaku di mana Sabah tidak sehaluan dengan kerajaan pusat – namun ia singkat dan dalam suasana politik yang tegang.”
Bendahari Umno Sabah itu berkata, selepas Umno melebarkan sayap ke Sabah pada awal 90-an, BN kembali menerajui kerajaan negeri pada 1994 dan mengekalkan penguasaan mereka di negeri itu sehingga PRU 2018 (PRU14).
“Dari tahun itu (1994) hingga 2018, Sabah ditadbir oleh BN, dengan banyak projek pembangunan besar dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan kerajaan pusat.”
Katanya, ini berterusan selepas PRU14 kerana dengan BN kehilangan kuasa di Sabah dan Putrajaya, Warisan membentuk kerajaan negeri dengan sokongan Pakatan Harapan.
“Walaupun Warisan adalah parti tempatan, ia bekerjasama rapat dengan pimpinan persekutuan ketika itu yang diketuai (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad.”
Menurutnya, PRN 2020 dimenangi gabungan baharu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Bersatu, PBS, STAR dan SAPP.
Beliau berkata, BN sebahagian kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional baharu sejak Mac 2020, memutuskan untuk bekerjasama dengan GRS bagi membentuk kerajaan negeri.
“Ini sekali lagi menunjukkan kesediaan untuk menjajarkan diri dengan kerajaan pusat demi kestabilan.
“Dalam sistem persekutuan seperti Malaysia, kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat bukan sekadar pilihan – ia satu keperluan.
“Untuk masa depan, Sabah memerlukan kepimpinan yang berkesan, wawasan yang jelas dan pasukan kuat yang mampu bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kestabilan jangka panjang dan kemajuan bermakna untuk rakyat.”