
Beliau berkata, mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AEC) ke-25 hari ini turut membincangkan kadar inflasi di rantau ini yang dijangka berada pada tahap 3%.
Menurutnya, unjuran itu lebih tinggi daripada purata berbanding kadar pertumbuhan global yang didorong eksport kukuh dan perbelanjaan modal awam ke atas ekonomi lebih besar.
“Bagaimanapun, pertumbuhan 4.7% itu tertakluk kepada…terdapat risiko penurunan terhadap unjuran tersebut disebabkan persekitaran luaran dan faktor lain yang perlu kita beri perhatian,” katanya pada sidang media selepas tamat mesyuarat Majlis AEC ke-25 di luar Sidang Kemuncak Asean ke-46 di sini.
Mengenai rundingan isu tarif, Tengku Zafrul berkata, negara anggota Asean bersetuju mengekalkan kedudukan neutralnya dan akan terus menyokong prinsip multilateralisme serta keperluan menjalin kerjasama dengan setiap negara dan Amerika Syarikat (AS).
“Setiap negara akan mempunyai pendirian masing-masing terhadap AS dan kami mengalu-alukan usaha kerjasama dijalankan secara dua hala oleh negara anggota Asean.”
Sidang Kemuncak Asean ke-46 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”. Ini kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau ini sejak 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sidang Kemuncak Asean dan mesyuarat berkaitan dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, dengan krisis di Myanmar kekal kebimbangan utama negara anggota.
Selain mesyuarat peringkat Asean, sidang kemuncak itu juga akan menampilkan dua platform antara rantau penting, iaitu Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China, menunjukkan kerjasama meningkat antara Asia Tenggara dan rakan strategiknya di Teluk serta China.