
Beliau berkata, mereka akan diberikan ruang memperbaiki agensi masing-masing dan penilaian masih dilakukan kerana sistem lampu isyarat itu baru dilaksanakan awal bulan ini.
“Datuk bandar semua yang ada di sini dengar baik-baik, sekiranya gagal, nama dia saya akan serahkan kepada KPPA (ketua pengarah perkhidmatan awam), ada maksud tersurat dan tersirat.
“Mana-mana PBT yang dinilai ‘lampu merah’, peruntukan mereka akan ditarik. Kuning, peruntukan akan dikurangkan, tetapi jika hijau, peruntukan akan ditambah.
“Sekiranya mendapat ‘lampu merah’ YDP dan SU (Yang di-Pertua dan setiausaha) akan dipanggil untuk kaunseling dan ada kursus pemantapan,” katanya menurut Harian Metro selepas program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya dan Majlis Penyampaian Hadiah Reka Bentuk Pasar Awam SK 10 Seri Kembangan.
Sementara itu, Nga berkata, pihaknya menerima 91 penyertaan pelbagai firma dan ahli profesional seni bina tempatan, dengan 10 reka bentuk terbaik disenarai pendek tujuh juri pakar dan awam berkepentingan.
Menurutnya, semua yang disenarai pendek menerima wang tunai RM5,000 hingga RM50,000 serta sijil bagi rekaan terbaik.
Selain wang tunai, katanya, pemenang akan dilantik perunding projek pembinaan pasar bernilai RM12 juta itu.
“Pertandingan ini dilaksanakan berdasarkan sistem penilaian 90% panel juri profesional berkecuali dan 10% juri awam membabitkan wakil komuniti, Adun dan ahli majlis.”