
Menurutnya, saingan kuasa besar dan perubahan terhasil dalam aturan global berpotensi mengganggu landskap serantau kerana negara Asean antara paling terjejas akibat tarif AS.
Beliau yang lebih dikenali Tok Mat menekankan keperluan untuk blok itu mendekati isu tersebut secara kolektif dan mengambil peranan aktif dalam mengharungi pergolakan pada tahun mendatang.
“Kita mesti manfaatkan detik ini untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau supaya kita dapat melindungi rantau kita dengan lebih baik daripada kejutan luar.
“Sambil kita menggerakkan usaha membina komuniti, kita mesti berdepan realiti bahawa usaha mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam Asean mesti dilihat sebagai keutamaan,” katanya berucap pada perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mesyuarat tertutup itu dipengerusikan Mohamad dan dihadiri menteri luar anggota Asean kecuali Myanmar, menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-46 bermula esok.
Turut hadir Setiausaha Agung Asean, Kao Kim Hourn dan Menteri Luar Timor-Leste, Bendito Freitas sebagai pemerhati.
Mohamad berkata, rantau ini turut bergelut kesan perubahan iklim dan gangguan teknologi semakin pantas.
“Di serata dunia, suhu serta paras laut terus meningkat dan kecerdasan buatan berkembang lebih pantas daripada tindak balas mana-mana kerajaan sekalipun. Isu-isu ini dijangka terus melanda di sekitar sini, terutama Asia Tenggara.”
Justeru, katanya, selain meningkatkan jumlah perdagangan serantau, anggota Asean digesa terus meningkatkan mekanisme memudahkan perdagangan intra-Asean.
Dengan mempelbagaikan perkongsian juga, menurutnya, ia akan memperkasakan perkumpulan itu untuk menangani kejutan masa depan akibat faktor ekonomi luar.
“Kita mesti bertindak balas terhadap potensi kegagalan akibat gangguan dalam perdagangan global secara bersama dengan perpaduan dan autonomi strategik sebagai satu komuniti Asean.
“Usaha kolektif ini akan membolehkan Asean mengharungi cabaran, meminimumkan kesan terhadap rakyat kita dan terus berkembang secara mampan dengan pemikiran masa depan.”
Beliau turut menekankan kepusatan Asean mesti terus membimbing rantau ini kerana ia terlibat dengan dunia lebih luas dan mengemudi dinamik antarabangsa yang kompleks.
Dalam dunia semakin terpolarisasi, katanya, Asean mesti memupuk model berasaskan dialog, kerjasama dan multilateralisme.
“Kita mesti kekal pemacu yang mencorakkan rantau kita. Hanya Asean yang bercakap bagi pihak Asia Tenggara. Bagi Asean, perpaduan ketika ini bertambah penting berbanding sebelumnya.”
Sidang Kemuncak Asean ke-46 bermula 26 dan 27 Mei ini, bersama Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang kemuncak dan mesyuarat berkaitan ini dijangka menangani pelbagai isu mendesak serantau serta antarabangsa, dengan krisis berterusan di Myanmar kekal perhatian utama bagi negara anggota Asean.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, ini kali kelima Malaysia menjadi pengerusi Asean selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.