
Menteri ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau tidak mahu meneruskan polemik keputusan pemilihan PKR, namun memahami kekecewaan ahli parti.
“Kita memerlukan masa untuk pulih daripada perasaan seolah-olah segala usaha dan dedikasi bertahun-tahun kepada idealisme PKR telah sia-sia.
“Saya juga manusia biasa, tidak terkecuali daripada rasa yang sama, walaupun seketika. Hampir separuh usia dewasa saya, lebih tepat, hampir 27 tahun, telah saya curahkan kepada perjuangan ini,” tulisnya di Facebook.
Rafizi berkata, beliau meninggalkan kerjaya korporat pada usia muda atas permintaan Anwar untuk menjadi ketua kakitangan di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Sepanjang 27 tahun menyertai politik, Rafizi menggerakkan kempen antarabangsa bebaskan Anwar, menyertai kepimpinan awal Pemuda PKR dan menulis sebuah buku berhubung kes mahkamah Anwar.
Beliau turut berdepan 16 kes mahkamah kerana mendedahkan pelbagai skandal kewangan awam, termasuk dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun (ditangguh dan digantikan bon berkelakuan baik) bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan skandal 1MDB.
“Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah, saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan daripada sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi.”
Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR selepas kalah kepada Nurul Izzah Anwar yang menang dengan 9,803 undi. Rafizi hanya meraih 3,866 undi.
Beliau sebelum ini menyuarakan kesediaan meletak jawatan menteri ekonomi jika kalah pemilihan timbalan presiden PKR.