
Rafizi semalam yang mengesahkan kehadirannya dalam kongres hari ini tidak kelihatan sejak 8 pagi tadi.
Setiausaha Akhbar Menteri Ekonomi Farhan Iqbal turut mengesahkan Rafizi kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas hadir perasmian Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, malam tadi.
“Rafizi telah balik ke Kuala Lumpur pagi tadi. Ini berikutan semalam PKR telah mengumumkan barisan kepimpinan yang baharu,” katanya kepada FMT.
Semalam, Nurul Izzah diumumkan pemenang dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR.
Beliau menewaskan Rafizi dalam pertembungan satu lawan satu dengan 9,803 undi.
Rafizi pula memperoleh 3,866 undi
Nurul Izzah dilihat sebagai calon pilihan untuk jawatan itu selepas lebih 200 daripada 222 PKR bahagian menyatakan sokongan kepadanya.
Rafizi sebelum ini menyatakan kesediaan meletak jawatan menteri jika kalah pemilihan timbalan presiden PKR.
Seramai 32,030 perwakilan layak membuang undi pada pemilihan kepimpinan pusat PKR bagi penggal 2025-2028.