
Bercakap dengan FMT, Rafael Daerr memperakui pengaruh Asean yang semakin meluas di persada dunia.
“Jika anda hanya perhatikan sidang kemuncak akan datang dan berapa ramai orang yang akan hadir dan siapa yang akan menyertainya, itu bukti betapa pentingnya Asean dan keupayaannya menghimpunkan pelbagai pihak untuk bekerjasama,” katanya.
Daerr berkata Asean dan EU — dua blok serantau yang paling berjaya serta mewakili lebih satu bilion orang — adalah ‘rakan kongsi semula jadi’ serta amat berupaya menghimpunkan pelbagai pihak di persada dunia.
“Kita masing-masing keluarga negara yang sangat serupa,” katanya.
“Kebanyakan kita negara kuasa pertengahan dan kita semua bergantung pada rangka kerja kerjasama serantau dan antarabangsa yang menyediakan persekitaran berasaskan peraturan dan boleh ramal untuk kita bekerjasama,” katanya.
Daerr berkata, Asean dan EU sebagai entiti serantau memupuk kestabilan dan kebolehramalan, membolehkan kuasa kecil dan pertengahan mengharungi ketegangan geopolitik tanpa terperangkap di antara kuasa-kuasa yang lebih besar.
Beliau berkata EU sekian lama mengiktiraf nilai kerjasama serantau dan betapa pentingnya negara berjiran saling melibatkan diri dan bekerjasama.
“Kami sentiasa menyokong inisiatif Asean dalam pelbagai bidang, kerana kerjasama serantau dalam DNA kami selama 80 tahun,” kata Daerr.
Menyedari bahawa kepercayaan dipupuk melalui dialog dan perbincangan secara peribadi, Daerr berkata EU sedang berusaha untuk memperdalam hubungan dengan Asean dengan meningkatkan libat urus ke peringkat kepimpinan tertinggi.
“Saya melobi agar kita menghantar seramai mungkin interlokutor ke Malaysia pada tahun mendatang, untuk mengadakan dialog pada tahan tertinggi.
“Apa yang kami mahu ialah meneruskan libat urus antara EU dan Asean di semua peringkat, bukan hanya menerusi mesyuarat pegawai kanan tetapi juga melalui penglibatan menteri dan mesyuarat antara ketua negara dan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu mengiktiraf komitmen EU pada penglibatan lebih aktif dan strategik.
Bercakap kepada media, beliau berkata Asean boleh mengukuhkan daya tahan ekonomi terhadap perubahan dalam dasar tarif AS dengan mengeratkan hubungan dengan EU dan rakan kongsi utama lain.
Kerjasama masa depan
Daerr kata perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala, yang dimeterai antara EU dan beberapa negara Asean, adalah langkah pragmatik ke arah matlamat jangka panjang iaitu perjanjian perdagangan EU-Asean antara wilayah.
Beliau berkata perjanjian sedia ada, yang disesuaikan mengikut landskap ekonomi setiap negara yang unik, menyediakan pendekatan yang fleksibel untuk menjalankan perniagaan ketika Asean mengusahakan integrasi dalaman.
“Pada peringkat ini, rundingan FTA dua hala jelas lebih menguntungkan rakan kongsi, kerana anda boleh menyesuaikan setiap perjanjian dengan keperluan masing-masing serta keadaan ekonomi.
“Jadi saya fikir ini sudah pasti cara yang paling berkesan dalam jangka masa pendek, batu loncatan ke arah matlamat jangka panjang iaitu perjanjian rantau dengan rantau,” katanya.
EU sudah mempunyai perjanjian dengan Singapura dan Vietnam dan sedang dalam pelbagai peringkat rundingan dengan Indonesia, Thailand dan Filipina.
Sementara itu, rundingan dengan Malaysia secara rasmi dilancarkan semula awal tahun ini berikutan lawatan Anwar ke Brussels, dengan rundingan pusingan pertama dijadualkan pada pertengahan tahun ini.
Daerr berkata EU juga menantikan pelancaran Wawasan Komuniti Asean 2045 pada sidang kemuncak 26 dan 27 Mei, melihatnya sebagai rujukan utama untuk mengenal pasti bidang kerjasama baharu dan panduan untuk membimbing kerja Asean sepanjang dua dekad akan datang.