Kenapa dulu tak timbul soal nepotisme, tegas Anwar

Kenapa dulu tak timbul soal nepotisme, tegas Anwar

Anwar Ibrahim bidas sindiran 'parti isteri dan anak' dilabel terhadap PKR oleh pihak tertentu.

izzah anwar
Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR manakala Nurul Izzah Anwar mengungguli saingan timbalan presiden pada pemilihan, semalam. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Anwar Ibrahim membidas sindiran ‘parti isteri dan anak’ dilabel terhadap PKR yang diketuainya, terutama dengan kemenangan Nurul Izzah sebagai timbalan presiden pada pemilihan semalam.

Mengimbau semula saat-saat getir ketika beliau dipenjara, Anwar berterima kasih kepada isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memainkan peranan sebagai peneraju Parti Keadilan Nasional (KeADILan) (nama PKR sebelum ini).

Menurutnya, Nurul Izzah pula segera menjadi ‘dewasa’ dan meninggalkan pengajian di universiti untuk meneruskan perjuangan yang disifatkan Anwar tidak menentu pada masa itu.

“Masa kita bertempur dulu mana ada kongres, tiada perbincangan panjang untuk siapa hendak pegang obor…jadi saya serahkan begitu sahaja sebelum dipenjara.

“Ada dana? jentera? Tiada. Masa itu tak timbul keluarga dan nepotisme,” ketika berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Beliau juga menegaskan kemenangan Nurul Izzah ke atas Rafizi Ramli bukan ditentukannya sebaliknya dalam sistem pengundian yang telus oleh perwakilan.

Istilah nepotisme dibangkitkan segelintir pihak termasuk dalam PKR yang bimbang kritikan terhadap parti itu susulan keputusan Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden.

Sebelum ini, Wan Azizah menjadi presiden PKR sebelum Anwar menang tanpa bertanding pada 2018.

Pada pemilihan semalam, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan Rafizi yang meraih 3,866 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.