
Menyifatkan keputusan itu “tanda perubahan arus”, Awang Azman Pawi percaya Rafizi masih tokoh penting dalam politik Malaysia walaupun kalah dalam pemilihan PKR.
“Beliau masih berpengaruh, dihormati dan memiliki rangkaian akar umbi luas,” kata ahli akademik itu yang mendapati Rafizi memiliki kekuatan unik dalam analisis data dan wacana intelektual.
“Sepatutnya dia jadi seperti ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya,” katanya memetik pepatah Melayu.

Tetapi, kekalahan Rafizi menunjukkan kemerosotan sokongan daripada pangkalannya, terutama dalam kalangan puak pro-Rafizi yang kecewa dengan keputusan itu.
“Rafizi pernah berada di kemuncaknya apabila ‘pembaharuan data’ menjadi teras gerakannya. Namun, kini beliau mungkin dilihat tidak menyentuh sentimen akar umbi parti,” kata Awang Azman.
Pengkritik berpendapat gaya komunikasi Rafizi yang dianggap sesetengah pihak sebagai elitis atau terputus hubungan antara sebab berpotensi untuk peralihan sokongan.
Kelantangannya dalam isu berkaitan parti dan kerajaan perpaduan mungkin secara tidak sengaja menggambarkan menteri ekonomi itu “di luar kolektif”, walaupun niatnya untuk pembaharuan dalaman.
Sebelum pemilihan PKR, Rafizi menyuarakan kesediaannya meletak jawatan menteri ekonomi jika gagal mempertahankan jawatan timbalan presidennya.

Rafizi dilaporkan berkata, ia satu kelegaan jika bukan lagi sebahagian daripada Jemaah Menteri kerana ia bermakna beliau mempunyai lebih banyak masa dan kebebasan untuk bersuara dalam pelbagai isu.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center turut menolak cadangan kekalahan Rafizi kepada Nurul Izzah Anwar menandakan berakhirnya kerjaya politik beliau.
“Saya tidak fikir ia penamat buat Rafizi. Beliau masih mendapat sokongan ketara dalam parti.

“Saya percaya beliau boleh melengkapkan Nurul Izzah dalam persiapan parti menghadapi PRU16 dan terus memainkan peranan membina kelak.”
Seorang lagi penganalisis, James Chin, berkata kerjaya Rafizi belum berakhir – tetapi mengingatkan langkah seterusnya kritikal.
“Ini bukan penghujung jalan buat Rafizi. Ia bergantung kepada apa dipilihnya sekarang. Jika beliau merajuk dan melepaskan semua jawatan, maka ia akan menjadi sangat, sangat teruk.”