Asean perlu ‘pilih jiran’ dalam saingan AS-China

Asean perlu ‘pilih jiran’ dalam saingan AS-China

Ahli ekonomi AS Jeffrey Sachs berkata Asean perlu pilih China jika AS memaksanya membuat pilihan dalam saingannya dengan kuasa besar Asia itu.

Sunway Group founder and chairman Jeffrey Sachs
Ahli ekonomi AS Jeffrey Sachs berkata Asean tidak boleh melakukannya tanpa hubungan ekonominya dengan China.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi terkemuka Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Sachs berkata Asean perlu memilih jirannya, China jika dipaksa Washington untuk membuat pilihan dalam saingan kuasa dengan gergasi Asia itu.

“AS tidak patut cuba paksa Asean memilih. Itu bukan saja tidak adil, tetapi jika Asean dipaksa membuat pilihan, anda jelas akan pilih jiran anda, China.

“Ini kerana Asean tidak boleh lakukannya tanpa hubungan ekonominya dengan China. Ia tak boleh dibayangkan,” kata profesor di Universiti Columbia dan presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB itu.

Beliau berkata, Asean perlu menjalin hubungan baik dengan semua negara, bukannya bersekutu dengan negara atau kumpulan tertentu.

“Ini kerana Asean rantau sangat terbuka dan berdagang dengan AS, Eropah, China serta negara lain. Jadi, AS tidak patut cuba memaksa Asean membuat pilihan sedemikian,” katanya pada dialog “Asean di tengah perubahan aturan global” anjuran Universiti Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah.

Sachs menjawab soalan sama ada tindakan berkecuali strategik masih pilihan berdaya maju buat Asean.

China kekal rakan dagang terbesar Malaysia dan Asean. Pada 2024, perdagangan Malaysia-China mencecah rekod USD212 bilion (RM917.4 bilion), menandakan tahun ke-16 berturut-turut Beijing menjadi rakan dagang nombor satu Malaysia.

Sejak 2013, purata perdagangan Asean-China berkembang 7.5% setahun, mencecah USD982.3 bilion (RM4.25 trilion) tahun lalu.

Bloomberg baru-baru ini melaporkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sedang bersedia menekan negara meminta pengurangan atau pengecualian tarif timbal balik AS untuk mengekang perdagangan dengan China.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata negara merundingkan perjanjian perdagangan dengan AS perlu “mendekati China sebagai satu kumpulan” bersama Washington.

China pula memberi amaran kepada negara lain tidak membuat perjanjian ekonomi dengan AS yang akan merugikan Beijing, meningkatkan ketegangan dalam perang perdagangan semakin memuncak antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Sachs berkata, jika AS cuba melaksanakan sekatan sekunder dan menyekat hubungan ekonomi Asean dengan China, ia “perlu dibantah”.

“Ini kerana negara jiran perlu berdagang, mempunyai infrastruktur serta hubungan pengangkutan sama, menguruskan kawasan tadahan sungai dan sebagainya.”

Beliau berkata, kumpulan serantau terdiri daripada 10 negara itu perlu bekerjasama rapat dengan China dalam bidang seperti infrastruktur fizikal dan kesalinghubungan.

“Ini adalah kejiranan. Inisiatif Jalur dan Laluan sangat penting serta positif. Ia melaksanakan projek kereta api laju, tenaga boleh diperbaharui dan sistem digital demi manfaat bersama semua pihak.”

Menurutnya, matlamat Asean sepatutnya bersikap terbuka kepada semua.

“Bertenang dan jangan terbabit konflik. Kami tidak mahu berada di tengah-tengah konflik anda dan tiada sebab untuk konflik timbul sama sekali.”

Justeru, beliau mencadangkan pangkalan tentera asing di rantau Asia dihapuskan. AS mempunyai pangkalan tentera di Filipina, Jepun dan Korea Selatan, semuanya dalam jarak dekat dengan musuhnya, China.

“Lama-kelamaan, saya percaya AS patut meninggalkan (pangkalannya di rantau ini). Kita tidak mampu menanggungnya lagi.

“Presiden Trump kata Jepun dan Korea Selatan patut bayar untuk perkhidmatan kita. Saya berpendapat Jepun dan Korea sepatutnya cakap ‘terima kasih, tetapi kami tak perlu bayar’. Jika anda mahu pergi, itu pun tidak mengapa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.