
Ong Keng Yong berkata, setiap kuasa besar mempunyai pendekatan tersendiri dalam menjaga dan melindungi kepentingan mereka, manakala kuasa kecil dan sederhana sering mendapat kekuatan melalui perpaduan apabila menghadapi cabaran global dan serantau yang kompleks.
“Keistimewaan Asean terletak pada keupayaannya menghargai kepentingan kuasa-kuasa besar dan pelbagai pihak berkepentingan, seterusnya membentuk satu susunan yang relevan untuk mengimbangi kepentingan masing-masing — sekali gus bergerak ke hadapan secara konstruktif,” katanya yang kini duta besar Singapura kepada FMT.
Beliau menolak tanggapan persidangan Asean hanya ‘perbincangan tanpa kesudahan’, sebaliknya menyifatkan ia platform penting dalam mengurus perbezaan dan mengekalkan kerjasama jangka panjang.
“Apa yang kita lihat iaitu pemimpin dan menteri Asean serta birokrat bertemu dan berbincang hanya satu aspek daripada pelbagai tindakan diambil untuk memastikan semua pihak terus terlibat.”
Ong yang juga timbalan pengerusi eksekutif Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam di Singapura berkata, diplomasi berterusan membantu mengekalkan kestabilan di rantau ini, sekali gus menjadikannya menarik dari segi ekonomi.
“Matlamatnya sentiasa untuk memastikan Asia Tenggara kekal menarik kepada perniagaan dan pelaburan, memacu pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, serta meningkatkan kepentingan dan nilai Asean kepada semua pihak berkepentingan dalam sistem antarabangsa,” katanya.
Ong berkata, blok ini adalah kunci kepada keamanan dan kemakmuran semua negara Asia Tenggara, namun faktor itu sering kali kurang dihargai.
Beliau berkata, negara Asean bekerjasama dengan baik antara satu sama lain dan mampu mengurus krisis serta mengekalkan ketenteraman dan keamanan melalui ‘diplomasi yang bijaksana’.
Katanya, mengekalkan kepusatan Asean — menjadikan blok ini sebagai penggerak utama dalam membentuk kerjasama serantau dan penglibatan luar — di tengah-tengah persaingan geopolitik dan inisiatif kepimpinan oleh kuasa besar bukanlah tugas mudah.
Asean terdiri 10 negara anggota dengan tahap sosioekonomi dan sistem politik berbeza. Timor-Leste dijangka menjadi anggota ke-11 bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.
Dari segi geografi, rantau ini mempunyai nilai strategik, geopolitik dan geoekonomi yang tinggi kerana ia merangkumi Laut China Selatan dan Selat Melaka iaitu dua laluan perdagangan maritim terpenting di dunia.
Menurut Ong, kepusatan Asean mencerminkan kebijaksanaan pemimpinnya dan wawasan untuk memanfaatkan kekuatan serta keterbatasan rantau ini demi kelangsungan dan kemakmuran.
“Kesediaan pemimpin Asean untuk berinovasi dan menjadi kreatif telah memajukan Asean dalam dunia yang penuh pergolakan, ketidakpastian, kebaharuan dan kekaburan.”
Dengan Wawasan Komuniti Asean 2025 bakal berakhir tahun ini, negara anggota kini bersiap sedia untuk pelancaran Wawasan Komuniti 2045.
Dilancarkan pada 2015 ketika kepengerusian Malaysia kali terakhir, wawasan 2025 menyaksikan rantau ini muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dari segi KDNK.
“Malaysia beberapa kali menjadi pengerusi Asean sepanjang enam dekad lalu. Ia mempunyai keupayaan dan kematangan untuk memimpin Asean dalam mengurus pelbagai cabaran geopolitik, transformasi ekonomi dan mandat masa depan,” kata Ong.
Sidang Kemuncak Asean ke-46 dijadualkan pada 26 hingga 27 Mei di Kuala Lumpur akan memberi tumpuan kepada tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.