
Menyambut baik usaha melibatkan Sabah dalam sektor hiliran seperti pemprosesan dan penapisan petrokimia, Salleh berkata langkah itu adalah satu bentuk pemerkasaan tempatan, tetapi tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada tuntutan royalti 20%.
“Royalti merujuk kepada hasil langsung daripada pengeluaran sumber – ia adalah soal hak, bukan sekadar kerjasama ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabah ketika ini menerima royalti 5% daripada Petronas berdasarkan perjanjian 1976, tetapi negeri itu secara konsisten berpendapat jumlah itu tidak mencukupi memandangkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada hasil minyak dan gas negara.
Tuntutan royalti 20% merupakan janji utama Pakatan Harapan dalam kempen PRU14 pada 2018, namun tidak dilaksanakan semasa gabungan itu mentadbir kerajaan persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan itu berkata perbincangan mengenai pemulangan hasil 40% daripada Putrajaya wajar diteruskan, tetapi ia tidak seharusnya menenggelamkan tuntutan asal 20% yang masih relevan.
Salleh berkata perjuangan menuntut royalti minyak lebih tinggi dalam mendapatkan bahagian lebih adil daripada sumber sendiri pernah menyatukan rakyat Sabah, dan ia masih ‘relevan dan wajar’ hingga hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengakui tumpuan kini beralih kepada hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40% hasil bersih persekutuan yang dikutip dari negeri itu, seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Namun, pelaksanaannya masih tidak jelas dan sering diperdebatkan dari sudut perundangan dan teknikal.
“Sebaliknya, tuntutan royalti minyak adalah lebih mudah difahami. Ia tidak memerlukan tafsiran yang rumit – hanya memerlukan kesepakatan dan kemahuan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya.
Ahli politik Sabah berulang kali menggesa Putrajaya supaya menghormati formula perkongsian hasil 40% yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan formula itu telah digantung sejak 1974, dengan kerajaan persekutuan membayar geran khas tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Persatuan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Society) diberi kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman berhubung hak negeri itu terhadap 40% hasil persekutuan. Kes itu dijadualkan untuk didengar pada 7 Julai.