Seorang lagi suspek kes simbah asid di Bachok ditahan

Seorang lagi suspek kes simbah asid di Bachok ditahan

Lelaki itu ditahan di sebuah kilang getah di Kuala Krai semalam dan akan direman pagi ini.

handcuff
Ketua Polis Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. (Gambar Rawpixel)
KOTA BHARU:
Polis menahan seorang lagi suspek disyaki terlibat dalam kejadian menyimbah cecair dipercayai asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok, Sabtu lepas.

Ketua Polis Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek lelaki itu ditahan 4 petang semalam di sebuah kilang getah di Kuala Krai.

Beliau berkata suspek berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Polis akan memohon perintah reman suspek pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, media melaporkan seorang suspek wanita turut ditahan di kilang yang sama kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan pada 4 petang pada Rabu.

Pada Sabtu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang dekat Bachok.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki, bagaimanapun dia kini dilaporkan stabil dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.