
Najib Bakar, yang juga bertanding pemilihan pucuk pimpinan PKR hari ini berkata, Rafizi juga tidak pernah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya boleh sahkan pejabat Rafizi tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau bercuti,” katanya di Facebook.
“Mungkin seseorang beri maklumat palsu. Rafizi juga tidak pernah hantar surat letak jawatan (sebagai menteri atau timbalan presiden PKR) kepada Anwar.”
Dakwaan itu timbul selepas Nurul Izzah Anwar mendakwa surat peletakan jawatan menteri disediakan Rafizi dan pejabatnya yang dikosongkan mendorong beliau bertanding jawatan timbalan presiden.
Dalam perutusan kempen terakhirnya kepada perwakilan PKR sebelum pemilihan, Nurul Izzah berkata, beliau berada di India untuk satu persidangan apabila menerima berita bahawa Rafizi mengambil cuti daripada tugasnya sebagai menteri ekonomi dan mengosongkan pejabat di Putrajaya.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti juga dimaklumkan mengenai surat peletakan jawatan menteri yang disediakan Rafizi.
Katanya, perkara itu menimbulkan kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR, sekali gus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
Menurutnya, perkara itu berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat cabang yang melibatkan pimpinan sehaluan dengan Rafizi, serta pimpinan lain pada peringkat akar umbi.
Menjawab dakwaan itu, Najib juga berkongsi gambar menunjukkan pejabat Rafizi dikemaskan untuk majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, bukan dikosongkan.
“Pada 27 April memang ramai SB (anggota polis Cawangan Khas) masuk ke Kementerian Ekonomi untuk semak betul atau tidak Rafizi dah kemas pejabat.
“Tak tahu mereka dengan khabar angin dari mana, agaknya dari sumber yang tidak dinamakan.
“Sebenarnya ya, memang pejabat menteri dikemaskan tetapi sebagai persiapan jamuan raya pejabat menteri pada 28 April,” kata Najib dalam satu lagi hantaran di Facebook.