
Timbalan presiden PKR berkata, walaupun proses pemilihan setakat ini berlangsung aman, penting untuk parti menamatkannya dengan segera dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama iaitu mentadbir negara.
Katanya, semua ahli akhirnya mahukan yang terbaik untuk parti dan kepimpinan baharu mesti memastikan sebarang kebimbangan diselesaikan selaras prinsip asas penubuhan PKR.
“Tak boleh sapu isu bawah karpet atas nama kestabilan. Perdebatan dan perbincangan sama ada secara dalaman atau terbuka mesti dibenarkan. Itu tanggungjawab kepimpinan baharu,” katanya ditemui dalam Kongres Pemuda PKR.
Ahli Parlimen Pandan juga menjawab persoalan mengenai ketidakhadirannya di pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah kerana soal prinsip yang berkait proses serta disiplin parti.
“Mana-mana organisasi bergantung kepada prosedur yang betul dan rasa hormat kepada hierarki. Kalau itu diketepikan untuk menyingkirkan saya, maka tidak adil untuk mengharapkan saya menerimanya begitu sahaja,” katanya.
Rafizi mendakwa, pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah diatur Nurul Izzah Anwar dan Amirudin Shari supaya bertembung dengan acaranya sendiri, tindakan disifatkannya sebagai ‘tidak beretika’.
“Ini bukan cara PKR. Saya harap ini menjadi pengajaran untuk masa depan dan ikutlah proses. Kalau tak ikut, maka hilanglah legitimasi moral untuk bercakap tentang prosedur dan etika parti.”
Sementara itu, Rafizi turut mengesahkan akan hadir malam ini dalam perasmian Kongres Nasional PKR di sebalik kehangatan pertandingannya dengan Nurul Izzah.
Beliau juga akan hadir esok dalam kongres akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.
“Saya akan hadir malam ini, esok pun saya akan hadir. Kenapa tak hadir pula,” katanya.
Terdahulu, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dijadual memberikan ucapan dasar menjangkakan Rafizi hadir di pusat konvensyen itu malam ini.