
Menteri ekonomi berkata, Nurul Izzah memberi gambaran seolah-olah menawarkan jawatan kepadanya, tanpa menjelaskan secara terperinci jawatan itu berkait ‘kedudukan’ dalam parti atau kerajaan.
Namun, Rafizi memaklumkan beliau tidak berminat dengan tawaran itu dan akan menghormati keputusan pemilihan hari ini.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan terakhir mereka tiga hari lalu, selepas Nurul Izzah sendiri meminta mereka berjumpa. Pertemuan itu berlangsung di kediaman Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail.
“Nurul Izzah sekali lagi merayu kepada saya untuk membantunya selepas pemilihan parti. Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya.
“Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baharu yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada presiden dan parti.
“Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti,” katanya di Facebook, menjelang pemilihan.
Rafizi mendakwa, pihak dalam dan luar parti tahu dia tidak selesa dengan beberapa kumpulan, yang menurutnya tidak menggambarkan reformasi politik dibawa PKR.
“Saya tidak pandai bermuka-muka. Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan untuk mendapatkan jawatan bertentangan dengan janji reformasi dibawa parti. Saya konsisten menolak mereka. Atas alasan ini, saya dituduh ego.
“Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baharu PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti.
“Jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka, Nurul Izzah sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan timbalan presiden,” katanya.
Rafizi berkata, beliau sudah melaksanakan tugas sebagai timbalan presiden dengan baik, dan jika Nurul Izzah berjaya menggantikannya selepas ini, tanggungjawab itu pula perlu dipikulnya.
“Allah dan rakyat akan menghakimi kita, melangkaui jeritan reformasi kita di dalam kempen. Saya bersyukur saya telah melakukan yang terbaik untuk melepasi ujian kuasa kali pertama ini,” katanya.