
Tertuduh, Muhammad Fauzy Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Peguam Fauzy, Anasuha Atiqah Mat Saidi berkata, perkara itu terjadi kerana anak guamnya hanya menyedari mempunyai satu kes tertunggak ketika sedang memohon visa ke luar negara untuk bekerja.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menjual 37 keping VCD lucah pelbagai tajuk di sebuah rumah bernombor di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 5.10 petang, pada 2 Sept 2010.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (2) akta sama.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (5) akta sama kerana menjual 306 set VCD pelbagai tajuk tanpa perakuan kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) di lokasi, masa, dan tarikh sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes dan mencadangkan ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan, lapor Utusan Malaysia.
Anasuha merayu jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.
Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai rekod lampau selain kes tertunggak itu.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes.