Kenapa layan Pamela seperti suspek jika dia saksi, peguam soal SPRM

Kenapa layan Pamela seperti suspek jika dia saksi, peguam soal SPRM

Sangeet Kaur Deo menegur Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kerana mengelirukan orang ramai dengan kenyataannya semalam.

Sangeet Kaur Deo Pamela Ling
Peguam Sangeet Kaur Deo berkata Pamela Ling dibawa dari Johor Bahru ke Putrajaya dalam keadaan bergari pada Januari selepas dia diekstradisi dari Singapura.
PETALING JAYA:
Peguam Sangeet Kaur Deo mempersoalkan mengapa Pamela Ling dilayan seperti suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dia hanya saksi yang membantu siasatan.

Sangeet berkata, Ling dibawa dari Johor Bahru ke Putrajaya dalam keadaan bergari pada Januari, selepas dia diekstradisi dari Singapura dan juga bermalam di lokap SPRM.

Beliau berkata, Ling kemudian menerima notis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) yang jelas menyatakan dia  ditahan. Dia kemudian direman tiga hari dan telefonnya dirampas.

“Selepas tamat tempoh reman tiga hari, SPRM membebaskan Ling dengan ikat jamin di mana dia dikehendaki membayar sejumlah RM35,000 dan diarah melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

“SPRM juga mengenakan sekatan perjalanan ke atasnya dan menolak permintaannya untuk bertemu anak-anaknya (di Singapura), walaupun ketika salah seorang daripada mereka dimasukkan ke hospital.

“SPRM bukan sekadar ‘panggil’ Pamela Ling, mereka memburunya. Dia berada di Malaysia atas arahan SPRM,” kata peguam keluarga Ling dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Ling bukan suspek dalam siasatan pengubahan wang haram tetapi saksi.

Pada sidang media, Azam juga memberitahu suruhanjaya itu ‘tidak pernah memanggilnya dengan niat untuk menahannya’.

Sangeet mendakwa, kenyataan Azam mengelirukan dan tidak membantu kredibiliti agensi antirasuah itu di mata umum.

Peguam itu berkata, tindakan SPRM dalam penahanan Ling adalah tidak perlu bagi seorang saksi, mengulangi bahawa wanita yang hilang itu dilayan seperti suspek.

Beliau menambah bahawa waran tangkap awal diperoleh SPRM terhadap Ling pada Disember serta sekatan perjalanan dikenakan pada bulan berikutnya sedang dicabar di Mahkamah Tinggi.

Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi kenyataan berkaitan siasatan sedang dijalankan.

SPRM membuka siasatan ke atas Ling dan suaminya, Thomas Hah, pada Mei tahun lalu atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.