Masa makin suntuk, PKR perlu baiki imej reformis, kata penganalisis

Masa makin suntuk, PKR perlu baiki imej reformis, kata penganalisis

James Chin berkata, imej reformasi PKR terjejas akibat kaitannya dengan Umno, parti yang tidak menyokong pembaharuan.

PKR perlu mendesak kerajaan memenuhi janji reformasi untuk memenangi semula kepercayaan penyokong, kata penganalisis Syaza Shukri.
PETALING JAYA:
Kurang tiga tahun sehingga tamat penggal kerajaan perpaduan, masa semakin suntuk untuk PKR menghampiri garisan tamat bagi menebus semula ‘jenama reformasi’ dibawanya, menurut penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, walaupun PKR masih menganggap dirinya parti reformis namun persepsi umum pula melihat sebaliknya.

Menurutnya, parti pimpinan Anwar Ibrahim itu tidak dapat melaksanakan sebarang pembaharuan sejati dan antara puncanya disebabkan gandingannya dengan Umno dalam kerajaan perpaduan.

Umno, sebuah parti yang bukan dikenali kerana menyokong reformasi, telah mengheret Pakatan Harapan (PH) ke bawah, kata Chin.

“Itulah yang menjejaskan imej PKR,” katanya kepada FMT.

Chia berkata, walaupun ahli PKR masih percaya pada identiti reformasi, peranan mereka dalam kerajaan terhad kerana kebanyakan keputusan penting terletak dalam tangan Anwar dan Jemaah Menteri, bukan ahli parti.

Beliau memetik sebagai contoh, keputusan melanjutkan perkhidmatan Azam Baki mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang tidak diterima baik segelintir ahli PKR termasuk anak Anwar sendiri, Nurul Izzah yang juga naib presiden parti.

Bagaimanapun, Chin menjangka penyokong PKR akan kekal setia kepada parti tidak kira apapun alasan diberikan kepimpinan bagi kegagalan mereka memenuhi apa dijanjikan ketika PRU15 pada 2022.

“Parti cuma akan berkata reformasi lambat dilaksanakan dan mereka (penyokong) akan menerima,” katanya merujuk kenyataan seorang lagi naib presiden parti, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Minggu lalu, Nik Nazmi berkata PKR tetap komited melaksanakan perubahan institusi walaupun kerajaan perpaduan belum melaksanakan reformasi dengan pantas.

Menurutnya, kerajaan perpaduan tidak gagal sepenuhnya dalam memperkenalkan reformasi, merujuk kejayaan pindaan perlembagaan yang memberikan kewarganegaraan kepada anak dilahirkan ibu warga Malaysia dengan pasangan warga asing.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) mengakui pembabitan PKR dalam kerajaan perpaduan menjejaskan imejnya, namun berkata parti itu masih mempunyai masa untuk membuktikan pendirian reformis dibawanya.

Beliau mencadangkan Anwar menyasarkan isu mudah seperti menetapkan had penggal jawatan perdana menteri yang sebelum ini pernah disokong pemimpin itu.

“Parti perlu mendesak kerajaan memenuhi reformasi untuk memenangi semula kepercayaan penyokongnya.”

Syaza berkata, kekecewaan penyokong PKR nampak ketara, khususnya golongan bukan Melayu yang menyokong parti itu berdasarkan janji tadbir urus baik dan perubahan institusi.

“PKR perlu kembali kepada asalnya,” katanya merujuk kepada laungan reformasi sering diungkapkan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.