
Katanya, perkara itu meliputi satu daripada 28 undang-undang buruh bawah kementeriannya yang sedang dikaji untuk dimansuh atau dikemas kini.
Menurutnya, jawatankuasa diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa Kementerian Sumber Manusia, Mohd Shaharin Umar akan melihat kesesuaian cadangan had umur persaraan yang mempunyai pro dan kontra jika dilaksanakan.
“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh terutama sektor awam, pekerja, dan majikan bagi memastikan undang-undang buruh itu selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Kementerian mahu melihat semula kesemua 28 undang-undang itu termasuk berkaitan usia persaraan. Ini kerana ada daripadanya ketinggalan zaman dan terpaksa dimansuhkan atau dikemaskini,” katanya menurut Utusan Malaysia di Klang.
Semalam, dilaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti dan mengkaji implikasi cadangan menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 65 tahun.
Cadangan itu melibatkan banyak implikasi termasuk dari segi kewangan, demografi penduduk, dan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, secara peribadi mencadangkan perkara itu kerana berpandangan golongan berusia 60-an masih aktif.