
Tawfik Ismail berkata, keputusan Mahathir untuk memberi tumpuan pada dasar seperti Malaysia Incorporated, yang menggalakkan kerjasama lebih erat antara sektor awam dan swasta, bermakna dasar-dasar lain bertujuan memupuk perpaduan terpaksa diketepikan.
Menurutnya, bapa-bapa pengasas negara telah membentuk suatu kepimpinan berbilang kaum dan mendekati isu-isu mendesak pada zaman mereka dari sudut pandang yang realistik.
Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, dan V.T. Sambanthan diiktiraf secara meluas sebagai antara bapa pengasas negara ini.
Tawfik yang juga anak timbalan perdana menteri kedua Malaysia, Ismail Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga tokoh itu membentuk gabungan patriot dan memastikan komuniti masing-masing menyumbang kepada pembinaan negara.
“Semangat ‘tolak ansur’ menjadi daya pendorong utama mereka,” kata Ahli Parlimen Sungai Benut dari 1986 hingga 1990 itu kepada FMT.
Bagaimanapun, kata Tawfik, apabila Mahathir mengambil alih tampuk pimpinan pada 1981, dasar-dasar dan ideologi yang dirangka untuk memulihkan hubungan kaum selepas rusuhan kaum pada 1969, seperti Rukun Negara, tidak lagi menjadi keutamaan.
Ada kalanya, dasar-dasar selepas 13 Mei, seperti Dasar Ekonomi Baharu, dieksploitasi.
Menurut Tawfik, pentadbiran Mahathir gagal memanfaatkan jaminan perundangan bagi hak-hak Melayu yang ditetapkan selepas rusuhan 13 Mei, sebaliknya menggunakannya untuk melonjakkan lagi penguasaan Melayu, termasuk dalam sektor swasta.
Susulan rusuhan kaum, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memastikan hak-hak istimewa Bumiputera, agama Islam dan bahasa Melayu tidak dicabar.
“Ia suatu usaha untuk menyederhanakan politik berasaskan kaum, dan Rukun Negara dijadikan sebagai ideologi kebangsaan,” kata Tawfik.
“Namun Mahathir tidak menjadikannya sebagai batu asas untuk pembinaan negara bangsa, sebaliknya mengukuhkan dominasi Melayu dalam semua sektor.”
Pada 8 Mei, Mahathir memberitahu FMT, jurang perkauman di negara ini dilihat semakin melebar dan lebih ketara berbanding ketika beliau menjadi perdana menteri.
Mahathir mengaitkan ketegangan kaum dengan ketiadaan bahasa kebangsaan sebagai penyatu serta kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum. Beliau menyokong hujahnya dengan merujuk keharmonian relatif di negara-negara jiran yang mempunyai populasi etnik Cina yang besar, seperti Indonesia, Thailand, dan Filipina.
Wong Chin Huat, seorang ahli sains politik di Universiti Sunway mengkritik Mahathir dengan mendakwa, keharmonian kaum yang dilihat ketika beliau menjadi perdana menteri adalah berpunca daripada pemerintahan autoritariannya.
Beliau berkata, Mahathir berpegang kepada kepercayaan bahawa Malaysia milik orang Melayu, dengan mengetepikan pandangan golongan minoriti, termasuk dari Sabah dan Sarawak, dan menggambarkan perpaduan nasional sebagai bergantung kepada asimilasi mereka.
“Idea-ideanya dibentuk oleh nasionalisme sempit dan autoritarianisme dalam era Perang Dingin. Itu (idea-idea) abad lepas.”
Wong juga mencadangkan Malaysia mengikut jejak langkah Indonesia dengan merungkai penumpuan kuasa persekutuan yang berlebihan untuk mengurangkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu bahawa kerajaan boleh jatuh ke tangan masyarakat lain.
“Sekiranya orang Melayu boleh berasa selamat dari segi politik seperti orang Islam di Indonesia, ketegangan etno-agama yang dikeluhkan Mahathir akan reda,” tambahnya.