Dulu lantang, Adam perjelas sikap lebih tenang pimpin Pemuda PKR

Dulu lantang, Adam perjelas sikap lebih tenang pimpin Pemuda PKR

Ketua Pemuda PKR itu berkata beliau berisiko memusnahkan dirinya dan sayap jika memimpin secara melulu mengikut perasaannya.

adam adli
Ketua Pemuda PKR Adam Adli berucap di hadapan perwakilan di kongres nasional sayap itu di Johor Bahru.
JOHOR BAHRU:
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli berusaha menjelaskan peralihannya daripada seorang aktivis mempunyai semangat berkobar-kobar kepada sikap yang lebih tenang sebagai ketua Pemuda PKR sejak 2022.

Adam, bekas aktivis pelajar, berkata matlamat peribadinya yang ditetapkan selepas dipilih sebagai ketua Pemuda PKR adalah untuk memimpin sayap itu secara adil dan saksama.

Menurutnya, beliau akui kegagalan memastikan keadilan dalam memupuk perpaduan di kalangan ahli akan menghalang usaha mengukuhkan lagi sayap Pemuda.

Bagaimanapun, beliau berkata mengetuai sayap pemuda semasa berkuasa menuntut banyak kesabaran dan toleransi, mengakui ada yang melihat cara beliau memimpin Pemuda PKR sebagai pelik memandangkan masa lalunya lebih rancak.

“Dalam mengetuai sayap ini, saya cuba untuk menjadi lebih tenang sedikit, untuk tidak dilihat sebagai terlalu lantang dalam perkara tertentu, untuk lebih berhati-hati dengan kata-kata saya dan memilih untuk menimbang perkara lebih daripada melakukan serangan.

“Kadangkala, ia membuatkan ia seolah-olah tidak sesuai dengan imej dan persona yang saya wujudkan selama ini. Ramai yang memandang saya dengan sinis, memperkecilkan kaedah saya dan mengatakan saya hilang sengat selepas mencapai kuasa.

“Tetapi saya tidak boleh melulu mengikut perasaan saya. Jika saya tidak berhati-hati, saya akan memusnahkan diri saya dan anda semua bersama saya,” katanya kepada perwakilan Pemuda PKR pada kongres nasional sayap itu di sini hari ini.

Adam, timbalan menteri belia dan sukan, menegaskan bahawa ahli Pemuda PKR kekal berani dan sejarah telah membuktikan keupayaan mereka untuk menahan pelbagai tekanan.

“Hanya beberapa tahun lalu, taksub politik dan nafsu kuasa di kalangan bekas rakan kita hampir membunuh kita,” katanya merujuk kepada pembelotan yang diketuai oleh Azmin Ali dan puaknya pada 2020.

“Menyedari perkara ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin yang memahami dan menyokong saya dalam memikul tanggungjawab berat ini untuk membina semula Pemuda PKR.”

Adam dipilih sebagai ketua Pemuda PKR pada 2022 dan bersaing untuk merebut jawatan dalam majlis pimpinan pusat yang dianggotai 20 ahli.

Kamil Munim, setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan mengambil alih jawatan ketua pemuda PKR selepas menang tanpa bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.