
Syahruddin Awang Ahmad dan Mazlan Ali berkata menyekat keterbukaan berpotensi menyebabkan situasi pegun dalam kepimpinan parti, sekali gus mengehadkan keupayaan PKR untuk melahirkan pemimpin baharu yang segar dan berbakat.

“Dengan meletakkan syarat tempoh keahlian yang panjang, PKR mungkin secara tidak langsung menyekat aliran bakat segar yang boleh membawa idea dan perspektif baharu,” kata Syahruddin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Ini berisiko mengakibatkan ‘brain drain’ di mana individu berbakat memilih menyertai parti lain menawarkan laluan lebih pantas, ia juga menjejaskan usaha parti kekal relevan dan dinamik dalam landskap politik.”
Selasa lalu, berucap di pentas jelajah Hiruk di Johor Bahru, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mencadangkan hanya individu dengan keahlian sekurang-kurangnya lima tahun dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti.
Beliau turut meminta parti membatalkan sistem membenarkan ahli baharu bertanding di peringkat kepimpinan pusat dengan kuasa pelepasan presiden.
Ketika ini, PKR menetapkan syarat individu berkenaan perlu menjadi ahli sekurang-kurangnya setahun untuk bertanding pada pemilihan parti.
Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata: “Idea Rafizi itu boleh membunuh PKR untuk memiliki kepimpinan yang dinamik pada masa depan”.
Syahruddin tidak menolak cadangan Rafizi sebagai usahanya itu mengehadkan persaingan oleh pendatang baharu yang belum teruji kesetiaannya, dengan menyasarkan beberapa individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan – sebelum ini dari MIC.
Namun, beliau berkata idealnya tempoh minimum dua tahun sudah cukup untuk individu membina kesetiaan dan membuktikan komitmen kepada parti tanpa perlu syarat terlalu ketat.

Mazlan pula mencadangkan had tempoh keahlian boleh ditetapkan mengikut jawatan dalam parti, sebagai contoh keahlian lima tahun ke atas hanya untuk pertandingan jawatan naib presiden dan ke atas.
“Untuk peringkat akar umbi tidak perlu lima tahun, mungkin setahun atau kurang untuk galakkan lagi percambahan pimpinan baru dalam PKR,” katanya.
“Tetapi untuk presiden mungkin (syarat keahlian) 10 tahun, timbalan presiden 7 tahun, naib presiden 5 tahun… boleh dipraktikkan begitu untuk mereka buktikan dahulu, boleh buat sesuatu kepada parti untuk bertanding di peringkat lebih tinggi.”