
Anwar yang juga perdana menteri berkata beliau maklum tentang teguran berhubung pelanjutan khidmat Azam, yang dilantik semula sebagai ketua pesuruhjaya berkuat kuasa 13 Mei.
Beliau memuji keberanian SPRM menyiasat kes-kes besar dan meminta ahli PKR beri sokongan penuh sehingga kerajaan temui calon ‘yang lagi berani’.
“Sejak penubuhan SPRM inilah kali pertama mereka berani menyerang tauke besar. Saya boleh ganti esok pun kalau nak tapi saya tak yakin orang baharu akan berani,” katanya kepada perwakilan, dalam ucapan merasmikan Kongres Nasional PKR.
“Beri ruang sikit kepada ketua SPRM sekarang. Beri ruang sampai kita cari seseorang yang lagi berani. Sementara itu kita berikan dia sokongan penuh.”
Ketika kerajaan perpaduan dibentuk pada Disember 2022, Anwar mempertahankan keputusan tidak menggantikan Azam, sambil menegaskan tidak mahu menimbulkan persepsi ketua pesuruhjaya perlu diganti sekiranya perdana menteri bertukar.
Antara yang mengkritik lanjutan khidmat Azam adalah Nurul Izzah Anwar yang ketika itu menjadi naib presiden PKR.
Lanjutan kontrak Azam juga dipersoalkan Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Edmund Terence Gomez, yang menekankan dakwaan pada 2021 mengenai konflik kepentingan Azam dalam dakwaan pemilikan saham syarikat korporat.
Azam menafikan sebarang salah laku, walaupun beberapa kumpulan pemerhati dan pemimpin Pakatan Harapan menyeru kepada siasatan.
Pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Anti-Rasuah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku berkait pembelian saham korporat selepas Azam menjelaskan akaun sahamnya digunakan adiknya, Nasir, untuk membeli saham yang beliau (Azam) tidak mempunyai kepentingan kewangan.