
“Saya rasa dia akan datang. Dia tidak memaklumkan saya secara peribadi (tentang tidak datang), tetapi (sebagai) timbalan presiden, saya rasa dia akan datang,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Anwar menegaskan Rafizi hadir pada mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan membentangkan ideanya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan isu meluluskan calon untuk jawatan parti, yang telah mencetuskan perdebatan selepas Rafizi mencadangkan untuk mengetatkan peraturan.
Anwar berkata beliau memilih untuk tidak menolak mana-mana permohonan yang diproses dan dikemukakan oleh ibu pejabat parti, kerana ia boleh ‘menjadi isu’.
“Saya beritahu majlis pimpinan, jika mereka bawa kepada saya, saya tidak mahu menapisnya kerana itu akan menjadi masalah,” katanya.
“Jadi, bagi semua yang mengemukakan permohonan mengikut peraturan parti dan telah diproses oleh ibu pejabat, saya meluluskan semuanya.”
Rafizi mencadangkan hanya ahli yang telah bersama parti selama sekurang-kurangnya lima tahun dibenarkan bertanding, dengan alasan ia akan mengukuhkan disiplin dan memastikan kesetiaan dalam barisan PKR.
Rafizi berkata sistem semasa membenarkan orang baru untuk terus menjawat jawatan kepimpinan, kadangkala dengan kelulusan presiden parti, sedangkan mereka sepatutnya ‘bermula dari bawah’.
Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, bekas bendahari agung MIC, menyertai PKR pada 2020 selepas keluar daripada parti berasaskan India itu enam tahun sebelumnya. Ramanan bersaing untuk jawatan naib presiden pada pemilihan parti tahun ini.