Pendapatan suku ketiga YTL naik kepada RM23.15 bilion

Pendapatan suku ketiga YTL naik kepada RM23.15 bilion

Namun keuntungan sebelum cukai konglomerat infrastruktur itu susut kepada RM3.18 bilion berbanding RM3.57 bilion.

ytl
Prestasi kukuh YTL Corporation Berhad bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025 disokong prestasi sihat semua bahagian perniagaan, menurut Pengerusi Eksekutifnya Francis Yeoh Sock Ping. (Gambar YTL)
PETALING JAYA:
YTL Corporation Berhad merekodkan pendapatan RM23.15 bilion bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025, meningkat 4% berbanding RM22.26 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun keuntungan sebelum cukai susut kepada RM3.18 bilion berbanding RM3.57 bilion manakala keuntungan selepas cukai mencatat RM2.4 bilion, menurun daripada RM2.8 bilion tahun lalu.

Pengerusi Kumpulan YTL Group Francis Yeoh Sock Ping berkata prestasi kukuh itu disokong prestasi sihat semua bahagian perniagaan walapun segmen utilitinya sedikit menurun selepas prestasi luar biasa tahun lalu dipacu oleh penjanaan tenaga di Singapura.

“Namun begitu, kami menyaksikan pemulihan kukuh dalam sub-segmen air dan pembetungan di United Kingdom,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, segmen simen pula mencatatkan peningkatan hasil susulan kecekapan operasi serta penurunan kos pengeluaran.

“Segmen pembinaan menunjukkan peningkatan hasil akibat jumlah kerja lebih tinggi daripada projek pihak ketiga.

“Bagaimanapun, segmen ini masih mencatatkan kerugian berikutan penghapusan keuntungan antara segmen dan kos tambahan disebabkan lanjutan tempoh siap bagi satu projek utama,” katanya.

Bernama melaporkan konglomerat infrastruktur itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata mereka kini sedang membangunkan Taman Pusat Data Hijau YTL di dalam Kulai Young Estate di Johor.

“Ia akan menjadi kampus pusat data pertama di Malaysia yang dikuasakan bersama oleh tenaga solar boleh baharu di tapak. Setakat ini, fasa pertama taman pusat data tersebut telah beroperasi, manakala pembinaan fasa-fasa seterusnya sedang dijalankan.

“Kampus ini akan menggabungkan penyelesaian inovatif dan mampan dalam reka bentuk dan operasi untuk mencapai kecekapan tenaga yang tinggi. Ia dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini bagi penyelesaian pusat data mesra alam dan kos efektif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.