
James Chin dari Universiti Tasmania dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat, pucuk pimpinan pusat parti tetap menjadi penentu muktamad dalam perkara itu.
“Semua orang tahu Umno Sabah dikawal oleh kepimpinan pusat, jadi tiada siapa akan ambil serius kenyataan ini,” kata Chin.
“Zahid boleh cakap apa sahaja, tetapi pada peringkat akar umbi, semua orang tahu Barisan Nasional (BN) sedang usahakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”
Senada dengan Chin, Azmi berkata, BN dan PH sudah membuat keputusan di peringkat pusat untuk membentuk pakatan, yang mesti dihormati kepimpinan negeri.
Sabtu lalu, Zahid yang juga pengerusi BN berkata Umno Sabah diberi autonomi untuk berbincang dan memutuskan kerjasama PRN17.
Beliau berkata, negeri juga diberi kuasa membincangkan kerjasama dengan parti lain, menambah bahawa tiada parti akan dapat membentuk kerajaan Sabah seterusnya secara bersendirian.
Pada 9 Mei, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan, PH dan BN bersetuju bergabung tenaga untuk PRN, berikutan pertemuan antara Zahid dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
Katanya, perbincangan mengenai bentuk kerjasama akan dikendalikan oleh parti masing-masing di negeri , tetapi ‘semua keputusan akan dimuktamadkan pucuk pimpinan’ pada peringkat nasional.
Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, kemudian berkata Umno Sabah masih mempunyai sedikit autonomi, namun terhad kepada keputusan berkaitan perkara teknikal dan strategik, seperti pemilihan calon pilihan raya.
Penganalisis juga menolak dakwaan Zahid bahawa sikap berpuak-puak tidak lagi wujud dalam Umno Sabah.
Chin berkata, terdapat sekurang-kurangnya tiga ‘puak’ utama dalam Umno Sabah, sesuatu yang menurut Azmi ‘bukan luar biasa’.
“Keadaan ini lebih ketara dalam Umno Sabah, yang mana politiknya cenderung berpusat pada tokoh-tokoh individu,” katanya.
“Dari apa yang kita boleh lihat, puak-puak ini diketuai oleh Bung, timbalannya Abdul Rahman Dahlan, dan Bendahari Salleh Said Keruak. Mungkin juga ada tokoh berpengaruh (warlord) lain dalam Umno Sabah terlibat.”
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, melalui kenyataannya, Zahid sebenarnya berhasrat menunjukkan kesatuan dalam parti menjelang persiapan bagi PRN Sabah akan datang, yang dijadual diadakan sebelum hujung tahun ini.
“Lagipun, apa pilihan lain Zahid ada? Mampukah gabungan PH-BN menewaskan GRS yang menguasai segala kelebihan sebagai penyandang pada peringkat negeri?”
Ahad lalu, Zahid dilapor mengaitkan kekalahan Umno dan BN pada pilihan raya sebelum ini dengan pertikaian dalaman parti dan gabungan.
Beliau berkata, perbalahan dalam kalangan pemimpin hanya merugikan rakyat Sabah dan mengalih perhatian daripada isu lebih penting, seperti menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik serta prasarana jalan raya, yang berlarutan di negeri itu.
“Tidak wujud puak Bung, puak Rahman, puak Salleh, (mahupun) puak Yakub Khan. Hanya ada satu pasukan BN Sabah,” katanya.