Suspek simbah asid pemilik spa direman 5 hari

Suspek simbah asid pemilik spa direman 5 hari

Wanita yang bekerja di kilang getah itu ditahan di Kuala Krai petang semalam.

Perintah reman hingga Isnin depan terhadap pekerja kilang getah itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Suhairi di mahkamah Bachok hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita berusia 38 tahun direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian seorang pemilik spa disimbah asid sehingga cedera parah di Bachok Sabtu lepas.

Perintah reman hingga Isnin depan terhadap pekerja kilang getah itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Suhairi di mahkamah Bachok hari ini, bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, lapor Kosmo.

Terdahulu dilaporkan suspek ditahan di depan sebuah kilang getah di Kuala Krai pada 4 petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan.

Suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam kejadian Sabtu lepas, seorang wanita berusia 27 tahun cedera parah selepas disimbah asid oleh tiga individu di premis spa miliknya di Beris Kubur Besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.