
Dalam perutusan kempen terakhirnya kepada perwakilan PKR sebelum pemilihan esok, Nurul Izzah berkata, beliau berada di India untuk satu persidangan apabila menerima berita bahawa Rafizi Ramli telah mengambil cuti daripada tugasnya sebagai menteri ekonomi dan mengosongkan pejabatnya di Putrajaya.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti juga dimaklumkan mengenai surat peletakan jawatan menteri yang telah disediakan oleh Rafizi.
Tambahnya, perkara ini menimbulkan kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR, sekaligus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
“Perkara ini berlaku susulan beberapa siri kekalahan pada peringkat cabang yang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi, serta pimpinan lain pada peringkat akar umbi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
“Memandangkan kemungkinan (berlakunya) kekosongan kepimpinan, ini menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan PKR, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden.
“Seruan ini disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti. Hanya pada hari terakhir penamaan calon, (barulah) Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya telah menyambut seruan yang diberikan.
Rafizi dan Nurul Izzah akan merebut jawatan timbalan presiden PKR dalam pertembungan satu lawan satu. Jawatan itu dimenangi Rafizi ketika pemilihan parti pada 2022, dan Nurul Izzah yang tidak bertanding ketika itu dilantik sebagai naib presiden.
Pada kemuncak spekulasi, Malaysiakini memetik seorang menteri yang enggan namanya disiarkan menafikan Rafizi meletak jawatan, sebaliknya hanya bercuti.
Rafizi kemudian menjelaskan beliau bercuti seminggu daripada tugas-tugas menteri untuk ‘menguruskan’ isu-isu yang timbul semasa pemilihan cabang parti.
Nurul Izzah mengakui kritikan Rafizi terhadap keputusan pemilihan cabang ‘mencerminkan suara banyak cabang yang menyaksikan perubahan terhadap status quo’
Beliau menegaskan, setiap kebimbangan dan isu yang dibangkitkan oleh calon mesti disemak dan ditangani dengan teliti oleh jawatankuasa pemilihan parti.
“Walaupun audit antarabangsa telah dijalankan bagi menyiasat kebimbangan yang dibangkitkan, ianya amat penting untuk penambahbaikan terhadap proses pemilihan dilaksanakan bagi menjawab kebimbangan tersebut dan mengurangkan defisit kepercayaan yang wujud.
“Langkah-langkah tegas sebegini berserta penambaikan lanjutan penting dalam membantu mewujudkan budaya kebertanggungjawaban, ketelusan dan perpaduan, nilai-nilai yang sering ditekankan oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
‘Jangan banding saya dengan Rafizi’
Dalam pada itu, Nurul Izzah meminta agar pencapaiannya pada PRU15 tidak dibandingkan dengan Rafizi kerana ia hanya akan memecah dan melemahkan parti.
Beliau menjelaskan, Rafizi menang ketiga-tiga kali beliau bertanding di kerusi majoriti Cina di kawasan bandar, manakala beliau menang tiga daripada empat kali bertanding di kerusi majoriti Melayu.
“Kekuatan inilah yang perlu kita satukan demi meningkatkan pencapaian kita dalam pilihan raya,” katanya.
“Janganlah kita saling menjatuhkan, sebaliknya akui dan hargai lah kekuatan masing-masing. Itulah semangat kebersamaan yang ingin saya kembalikan dalam parti ini.”
Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU lepas, ditewaskan oleh calon Perikatan Nasional, Muhammad Fawwaz Jan.