Kes Teoh Beng Hock: NFA kerana tiada bukti mencukupi, kata AGC

Kes Teoh Beng Hock: NFA kerana tiada bukti mencukupi, kata AGC

AGC kata ia telah teliti dan kaji keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan polis.

personal Teoh Beng Hock
AGC kata hasil penelitian keterangan berkait kes kematian Teoh Beng Hock mendapati tiada bukti mencukupi untuk membuktikan kesalahan terhadap mana-mana individu.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan arahan ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) berhubung kertas siasatan kes kematian Teoh Beng Hock kerana tiada bukti mencukupi.

Keputusan itu diberikan selepas meneliti dan mengkaji keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan polis, berhubung kematian yang berlaku pada 2009 itu.

“Hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.

“Oleh itu, arahan yang diberikan adalah supaya tiada tindakan lanjut diambil berhubung dengan kertas siasatan ini,” menurut kenyatan.

Teoh ditemui meninggal dunia di bahagian luar koridor Tingkat 5, Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas disoal selama beberapa jam di ibu pejabat SPRM Selangor, yang terletak di bangunan tersebut pada ketika itu.

Teoh merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Dalam inkues yang dijalankan berhubung kematiannya, koroner membuat keputusan terbuka, iaitu Teoh bukan bunuh diri mahupun dibunuh.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh ‘satu atau lebih individu tidak diketahui’, termasuk pegawai SPRM.

Pada 2019, polis melancarkan siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung pengurungan salah.

Sebelum 2018, dua pasukan siasatan khas telah ditubuhkan – pada 2011 dan 2015 – untuk menyiasat kematian Teoh, tetapi kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai NFA oleh pendakwa raya.

Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis melengkapkan siasatan yang sudah lama tertangguh berhubung kematian Teoh lebih 15 tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.