Guna penjimatan hasil subsidi bersasar perkukuh bantuan pusat, kata pakar

Guna penjimatan hasil subsidi bersasar perkukuh bantuan pusat, kata pakar

Ahli ekonomi Goh Lim Thye berkata subsidi menyeluruh lebih menguntungkan golongan kaya berbanding yang memerlukan.

petrol fuel pump
Subsidi RON95 memberikan manfaat yang tidak seimbang kepada golongan paling kaya.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi dan sebuah kumpulan pengguna menggesa kerajaan memastikan penjimatan daripada penyasaran subsidi bahan api digunakan untuk memperkukuh inisiatif bantuan persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu FMT, penyasaran itu penting dan tepat pada masa memandangkan subsidi menyeluruh cenderung memberikan manfaat tidak seimbang kepada isi rumah berpendapatan tinggi.

Goh merujuk data dikongsi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menunjukkan warga asing dan 15% rakyat Malaysia paling kaya menerima sehingga 40%, atau RM8 bilion daripada subsidi petrol RON95 tahun lalu.

“Subsidi bahan api menyeluruh membebankan fiskal negara dan bersifat regresif secara struktur, terutama apabila isi rumah berpendapatan tinggi yang memandu lebih kerap dan memiliki lebih daripada sebuah kenderaan, akhirnya menerima sebahagian besar bantuan kerajaan.

“Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, Malaysia mesti beralih daripada subsidi berasaskan penggunaan yang tidak disasarkan, kepada sistem sokongan sosial berdasarkan keperluan dan berpandukan data,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan menyasarkan penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun dengan pelaksanaan subsidi diesel bersasar, hampir dua kali ganda daripada unjuran awal RM4 bilion.

Kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar pada pertengahan 2024, manakala bagi RON95 dijangka pertengahan 2025.

Goh berkata, reformasi sistem subsidi boleh membantu mengekalkan dana awam untuk inisiatif bantuan utama termasuk pemakanan kanak-kanak, penjagaan warga emas, dan bantuan tunai bersasar seperti STR dan SARA.

“Penjimatan daripada reformasi sedemikian, yang berpotensi mencecah berbilion ringgit, juga boleh disalurkan untuk meningkatkan keberkesanan dan liputan rangkaian keselamatan sedia ada, menyokong pembangunan luar bandar atau memperbaiki perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, T Saravanan, berkata skim subsidi perlu dilaksanakan dengan mekanisme bersasar yang ‘jelas, telus dan adil’, merangkumi pemantauan dan penguatkuasaan ketat bagi mengelak penyelewengan.

“Reformasi subsidi penting untuk kelestarian fiskal dan sosial jangka panjang, tetapi ia perlu dilaksanakan secara berperingkat, inklusif, dan disertai komunikasi serta penglibatan berkesan
bersama pengguna bagi mengelak kejutan dan sentimen negatif dalam kalangan rakyat,” katanya.

Saravanan berkata, sebarang usaha untuk mengalihkan penjimatan mesti membawa kepada liputan lebih luas dan peningkatan bayaran dalam program bantuan bagi meringankan tekanan kos sara hidup.

Bagi Goh, subsidi bersasar bahan api adalah ujian terhadap kesediaan kerajaan untuk membuat keputusan sukar.

“Sasaran tepat (juga) bergantung sepenuhnya kepada data sosioekonomi yang boleh dipercayai dan terkini. (Oleh itu) platform seperti Pangkalan Data Utama (Padu) mesti sentiasa dikemas kini dan disahkan bagi mengelak kesilapan pengecualian.

“Tanpanya, walaupun agihan semula berniat baik, ia mungkin gagal memberi manfaat kepada golongan paling memerlukan, sekali gus menjejaskan kepercayaan awam dan dasar kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.