
Ketua Ling Tian Soon, berkata tuduhan Nga yang dibuat susulan menjawab isu dibangkit MCA mengenai projek MyKiosk 2.0 adalah ‘tidak berasas’, selain menyatakan MCA dengan maklum balas diberikan.
Ling berkata, MCA konsisten bersuara mengenai isu menjejaskan rakyat Malaysia demi memastikan pihak berwajib dan badan kerajaan menyelesaikannya.
“Walaupun kementerian lain biasanya memberi maklum balas dengan data dan fakta, Nga tidak berbuat demikian.
“Sebaliknya, beliau menuduh MCA mempunyai agenda menyertai Perikatan Nasional (PN). Gaya bahasanya tidak menghormati dan tidak cocok untuk seorang menteri Kabinet,” katanya sambil menambah Nga boleh memilih untuk memperbetulkan MCA jika berlaku kesilapan.
Pada sidang media dua hari lalu, Nga berkata, MCA ‘parti paling teruk’ walaupun menjadi sebahagian kerajaan perpaduan, parti berkenaan sentiasa cuba menjatuhkan imej kerajaan dan agar ‘dapat keluar dan masuk PN’.
Semalam, Pemuda MCA Selangor memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru siasatan dibuat ke atas projek MyKiosk bernilai RM250 juta di bawah kementerian Nga.
Ketuanya Tan Jie Sen, mendakwa meskipun melalui pelaburan signifikan, hanya lebih separuh daripada kiosk itu telah diduduki.
Sebelum ini, Pemuda MCA Pahang mempersoal mengapa kerajaan membayar antara RM25,000 hingga RM34,000 bagi sebuah kiosk, mengambil kira harga pasaran hanya RM12,800 seunit.
Nga menjelaskan, harga RM25,000 yang dijadikan isu adalah taktik untuk mengkritik projek berkenaan, sedangkan ia sudah termasuk kos solar panel, kipas, dapur, pengangkutan, pemasangan dan lokasi.