3 termasuk ‘Datuk’ ditahan berkait kes tuntutan palsu RM48,000

3 termasuk ‘Datuk’ ditahan berkait kes tuntutan palsu RM48,000

Dua lelaki dan seorang wanita berusia 50an direman dua hari mulai hari ini.

macc sprm
Pengarah SPRM Kedah Ahmad Nizam Ismail memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
ALOR SETAR:
Seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk bersama dua lagi individu direman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM48,000 kepada sebuah agensi pasukan keselamatan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, kesemua suspek berusia 50an, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, ditahan sekitar 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Suspek utama disyaki melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2023, melibatkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering berjumlah kira-kira RM48,000 kepada pasukan keselamatan yang menjalankan penugasan kawalan di pos barisan hadapan.

“Turut ditahan, dua kakitangan syarikat pembekal yang disyaki bersubahat dengan suspek utama dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tiada pembekalan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.