
Pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata penurunan kelahiran bukan disebabkan masalah kesuburan semata-mata tetapi pilihan gaya hidup pasangan moden apabila semakin ramai memilih tidak mempunyai anak atau hanya memiliki seorang disebabkan tekanan ekonomi, kerjaya dan kos sara hidup.

“Penurunan kadar kelahiran hidup di Malaysia memang menurun dan sedikit membimbangkan dari sudut jangka panjang, tetapi ia bukan krisis segera jika diurus dengan baik,” katanya kepada FMT.
Pada 14 Mei lalu Jabatan Perangkaan mendedahkan jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 11.5% kepada 93,500 berbanding 105,613 kelahiran pada suku pertama 2024.
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, dilaporkan berkata jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 adalah rekod terendah pernah dicatatkan, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Katanya, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi dengan 18,254 (19.5%), manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan yang terendah dengan 278 kelahiran (0.3%).
Sementara itu, Zainal berkata walaupun kelahiran menurun, kadar kesuburan jumlah (TFR) negara meningkat kepada 1.8 tahun lalu berbanding 1.7 pada 2023.

“Namun, ia masih bawah tingkat penggantian 2.1, memang menimbulkan beberapa kebimbangan dari segi demografi dan ekonomi,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu memberikan subsidi perumahan dan bantuan tunai untuk setiap kelahiran bagi meringankan beban kewangan ibu bapa muda serta potongan cukai lebih besar.
Senada dengan Zainal, Pegawai Perubatan Hospital Tunku Azizah, Dr Muhammad Zarif Asraf, berkata antara faktor utama mendorong ibu bapa tidak mahu memiliki atau mengehadkan jumlah anak disebabkan peningkatan kos penjagaan kanak-kanak.
Katanya, umum mengetahui kadar upah penjagaan anak meningkat sehingga 30% susulan kenaikan gaji minimum.
“Hal ini menjadi salah satu contoh mengapa ibu bapa kini mengawal jumlah anak,” katanya.
Justeru, beliau berkata inisiatif sedia ada seperti insentif cukai, pewujudan taman asuhan kanak-kanak (taska) di premis tempat kerja, serta inisiatif baharu seperti bekerja dari rumah wajar diperluaskan.
“Malah, negara maju sudah mula memperkenalkan inisiatif bilangan hari bekerja seminggu seperti United Kingdom dan Jepun yang boleh membantu mengurangkan isu ini,” katanya.