Pertahan bonus PDC, Chow kata ganjaran ikut prestasi

Pertahan bonus PDC, Chow kata ganjaran ikut prestasi

Bonus enam bulan dibayar kepada kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah tertinggi dalam sejarah sejak penubuhannya 1969.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata hanya 25% kakitangan PDC menerima bonus penuh enam bulan.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Chow Kon Yeow mempertahankan keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi bonus sehingga enam bulan gaji, sambil menyatakan pembayaran itu berdasarkan prestasi dan bukannya dipengaruhi politik atau pilih kasih.

Dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (PH-Air Putih) dalam sidang DUN, Chow berkata pihak lembaga telah meluluskan bonus itu berdasarkan prestasi kukuh PDC tahun lalu.

Chow, yang mempengerusikan Lembaga PDC, berkata hanya 25% kakitangan PDC menerima bonus penuh enam bulan, manakala yang lain menerima bonus lima bulan gaji, selepas ‘pencapaian cemerlang’.

Katanya, keputusan tersebut berdasarkan beberapa pencapaian, termasuk peningkatan keuntungan 91% daripada RM276.6 juta pada 2023 kepada rekod tertinggi RM527.1 juta pada 2024.

Chow berkata, PDC mencapai 104% sasaran pendapatan dan 96% belanja tahun lalu.

Selain melaksanakan beberapa pelaburan berimpak tinggi, Chow berkata PDC menjimatkan faedah RM8.6 juta dengan menjelaskan pinjaman awal.

Semalam, Lim mempersoalkan rasional di sebalik pemberian bonus syarikat milik kerajaan itu, sambil menyuarakan kebimbangan orang ramai berhubung penjualan tanah kontroversi di Batu Kawan dan penangguhan beberapa projek PDC.

Chow berkata, kebimbangan disuarakan diambil kira sebelum bonus diluluskan, sambil menambah PDC telah mengambil langkah susulan menangani kelewatan projek, termasuk melaksanakan pelan pemulihan.

Awal minggu ini, Adun kerajaan mempersoalkan kewajaran pemberian bonus, memandangkan agensi lain tidak menerima ganjaran sama, dengan PDC berdepan kontroversi berkait penjualan tanah dan pembinaan belum siap.

Pada 9 Feb, Ketua Pegawai Eksekutif PDC Aziz Bakar, berkata seramai 396 kakitangan akan menerima bonus antara satu hingga enam bulan berdasarkan prestasi.

Pembayaran ganjaran selama enam bulan adalah tertinggi dalam sejarah PDC sejak penubuhannya pada 1969.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.